Kriket Perisai Raja-Raja

Tentera tumbang tipis dalam misi pertahan gelaran

Selangor-UKM pastikan kejuaraan

 

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

BARISAN JUARA... pasukan Selangor-UKM meraikan kecemerlangan mereka merangkul Perisai Raja-Raja musim 2009.

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Selangor-UKM merampas kejuaraan Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja apabila menumbangkan juara bertahan, Tentera dengan satu wiket pada perlawanan akhir mendebarkan di Bayuemas Oval, Klang hari ini.


Kejuaraan sulung selepas dua tahun menyertai kejohanan tersebut diraih selepas mengharungi perlawanan sengit lagi mendebarkan apabila Selangor-UKM dikerah sehingga dalam 48.2 over sebelum memastikan kemenangan dengan mengumpul 168-9; mengatasi Tentera yang melakukan 167 larian.

 

 


Percaturan Selangor-UKM yang memenangi undian dan mempelawa Tentera untuk memukul ternyata berhasil apabila menyekat pasukan lawan setakat 167 larian dalam 47.2over.

Selangor-UKM yang memulakan sesi mencapai sasaran selepas rehat tengah hari mengumpul larian terbaik menerusi Ahmad Faiz M. Noor (33) larian, Firdaus Rusli (31), Shafiq Sharif (26) dan Shahrulnizam Yusof (16).


Faruq Hakimin Azmi dari Selangor-UKM dipilih pemain terbaik perlawanan berpandukan analisis balingan 3-31 dan kekal 15 sehingga tamat perlawanan.

 

Pemukul pembukaan Tentera juga penjaga wiket, Rosman Zakria pula diisytiharkan pemain terbaik kejohanan.

 

Pengurus Selangor-UKM, Fairus Shafie berkata, ketahanan mental dan kerjasama sepasukan merupakan teras utama pemainnya dapat menundukkan pasukan penuh berpengalaman seperti Tentera.

 

``Saat paling mendebarkan bagi saya iaitu sewaktu 30 over yang mana jumlah larian kami masih rendah namun pemain mengekalkan rentak hingga ke pemukul terakhir.


``Kejayaan ini amat bermakna, bukan sahaja ia merupakan kejuaraan pertama tetapi kami berupaya muncul juara selepas menjadi pasukan belasahan pada dua edisi sebelum ini,'' katanya.


  Pengurus Tentera, Roslee Munasir pula berkata, pasukannya kecewa kerana terpaksa melepaskan kejuaraan namun tetap berpuas hati kerana hanya tewas tipis.


 ``Saya menyifatkan ia sebagai `kalah bermaruah' kerana pasukan lawan terpaksa menggunakan pemukul terakhir untuk mencapai kemenangan.


 ``Kita juga membuktikan tidak mudah diratah dan kekalahan ini disebabkan tuah tidak menyebelahi kami,'' katanya. 


Hadiah kepada pemenang dan penyerahan Perisai Raja-Raja disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

 

KEPUTUSAN BABAK AKHIR


Selangor-UKM kalahkan Tentera dengan 1 wiket.

Tentera 167 (47.2 over) Ariffin Ramly 44, Rosman Zakaria 30, Rashid Ahad 26. Shahrulnizam Yusof 3-23, Faruq Hakimin Azmi 3-31, Firdaus Rusli 2-23, Shahid Ali Khan 2-36.

 

Selangor-UKM 168-9 (48.2 over) Ahmad Faiz M. Noor 33, Firdaus Rusli 31, Shafiq Sharif 26, Shahrulnizam Yusof 16, Faruq Hakimin Azmi kekal 15. Suharril Fetri Shuib 2-11, Rashid Ahad 2-28, Shukri Rahim 2-30,.

 

Pemain terbaik babak akhir: Faruq Hakimin Azmi (Selangor-UKM).

Pemain terbaik kejohanan: Rosman Zakaria (Tentera)

 

BARISAN JUARA... pasukan Selangor-UKM meraikan kecemerlangan mereka merangkul Perisai Raja-Raja musim 2009.

BARISAN JUARA... pasukan Selangor-UKM meraikan kecemerlangan mereka merangkul Perisai Raja-Raja musim 2009.

 

BARISAN pemain Selangor-UKM bergambar bersama Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pegawai persatuan dan pasukan.

BARISAN pemain Selangor-UKM bergambar bersama Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pegawai persatuan dan pasukan.

 

ROSMAN ZAKARIA menerima hadiah daripada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid setelah dinamakan pemain terbaik kejohanan tahun 2009.

ROSMAN ZAKARIA menerima hadiah daripada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid setelah dinamakan pemain terbaik kejohanan tahun 2009.

 

KAPTEN Selangor-UKM, Shahid Ali Khan menerima Perisai Raja-Raja daripada Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di Bayuemas Oval, 8 Mac 2009.

KAPTEN Selangor-UKM, Shahid Ali Khan menerima Perisai Raja-Raja daripada Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di Bayuemas Oval, 8 Mac 2009.