Kelab PJ mahu pertahan kegarangan

BARISAN Kelab PJ bersama jurulatih, MK Nathan (kiri) dan pengurus, Jagdev Singh (belakang, empat dari kanan).KUALA LUMPUR - Sejak menyertai pertandingan mulai tahun 1999, Kelab PJ dari Selangor bakal memastikan mereka masih bertahan sehingga babak separuh akhir saingan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan bermula 15 hingga 20 Jun ini di dua gelanggang ternama, Bayuemas Oval, Klang dan Kinrara Oval di Puchong, Selangor.
 
Dengan tersenarai dalam kumpulan A bersama juara bertahan, Kota Bharu dan Kampung Gadong (Negeri Sembilan) serta Kota Kinabalu dari Sabah, Kelab PJ berazam untuk mengekalkan keperkasaan seperti tahun lalu untuk menjadi empat skuad terbaik daripada lapan pasukan yang mengambil bahagian.
 
Penganjur, Persatuan Kriket Melayu Malaysia membariskan lapan pasukan terbaik daripada 15 pusat pembangunan bawah 12 di seluruh negara untuk beraksi bagi merebut Perisai Tun Ahmad Sarji yang turut menawarkan hadiah wang berjumlah RM5,000.
 
Pengurus Kelab PJ, Jagdev Singh berkata, skuadnya yang masih dibimbing oleh jurulatih veteran, MK Nathan bakal menyenaraikan kapten berwibawa, Roshan Senna Singh yang akan membuat penampilan kali kelima dalam kejohanan ternama itu.
 
''Kami amat gembira berada dalam program pembangunan Kriket Melayu dan turut berbangga untuk beraksi di dua gelanggang terbaik di Malaysia,'' kata Nathan, seorang guru cemerlang dalam akademik dan sukan.
 
Satu lagi kumpulan akan disertai oleh Pekan dari Pahang, Westlands (Pulau Pinang), Kuala Langat (Selangor) dan Kuala Krai dari Kelantan.

 
JADUAL KELAB PJ
(Pusingan awal)
15 JUN: Kelab PJ lwn Kg. Gadong
(Kinrara Oval, 2 petang)
16 JUN: Kelab PJ lwn Kota Kinabalu
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
17 JUN: Kelab PJ lwn Kota Bharu
(Kinrara Oval, 9.30 pagi)

BARISAN Kelab PJ bersama jurulatih, MK Nathan (kiri) dan pengurus, Jagdev Singh (belakang, empat dari kanan).

BARISAN Kelab PJ bersama jurulatih, MK Nathan (kiri) dan pengurus, Jagdev Singh (belakang, empat dari kanan).

KAPTEN Kelab PJ, Roshan Senna Singh.

KAPTEN Kelab PJ, Roshan Senna Singh.