Kriket Melayu berganding dengan persatuan negeri

Presiden: Tun Ahmad Sarji Abdul HamidKLANG – Persatuan Kriket Melayu Malaysia memulakan projek pembangunan bersama persatuan negeri setelah program peringkat nasional bagi kumpulan menengah (intermediate) berjaya dilaksanakan.

Mengumumkan demikian, Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia , Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berharap program telah dilancarkan sejak Januari lalu di Kuala Lumpur dapat memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak dapat menyertai projek peringkat nasional.

Dua sekolah yang terbabit dalam program peringkat negeri ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak.

‘’Bagi mereka yang belum layak ke Projek Kriket Nasional, harapan Kriket Melayu adalah untuk memacu tanggungjawab bersama persatuan peringkat negeri agar peluang turut terbuka luas bagi pemain yang kurang bernasib baik pada peringkat permulaan.

‘’Kriket Melayu akan bekerjasama dengan persatuan negeri dari semasa ke semasa,’’ katanya sewaktu merasmikan persidangan agung tahunan persatuan berkenaan di Bayuemas Oval di sini pada 23 Mei 2010.

Justeru itu, Kriket Melayu menjanjikan peluang sama rata dengan semangat 1Malaysia untuk sama-sama memperjuangkan tanggungjawab nasional dalam sukan kriket.

Ahmad Sarji turut melahirkan kebanggaanya berikutan kecemerlangan persatuan berkenaan dalam melaksanakan kegiatan terutama sekali tiga pengkhususan dalam misi pembangunan pertubuhan berkenaan.

‘’Kami berjaya melaksanakan kegiatan teras, melahirkan pemain berkeupayaan tinggi untuk negara dan penerokaan program baru..

‘’Buat masa ini, secara sedar atau tidak, prestasi pasukan kriket negara sudah mula mantap di rantau Asia; baik pasukan utama ataupun barisan peringkat usia,’’ katanya mengimbas kembali fungsi persatuan itu yang merupakan pendahulu dalam program membangunkan kriket di Malaysia .

Di samping program bawah 12 dan projek peringkat menengah, Persatuan Kriket Melayu Malaysia juga memiliki pusat prestasi tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyediakan peluang melanjutkan pengajian akademik dan menyambung tanggungjawab sebagai pemain kriket berprestasi tinggi.

Dalam sesi pemilihan baru pada persidangan agung itu, semua jawatan yang dipertandingkan dimenangi tanpa bertanding.

MAJLIS KRIKET MELAYU 2010-2012:
Presiden: Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
Timbalan Presiden: Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob
Naib Presiden: Tan Sri Wan Mohd. Zahid Noordin, Datuk Ar. Mir Shahariman Shaharuddin.
Setiausaha Agung: Rosmanizam Abdullah
Setiausaha Kewangan: Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi
Timbalan Setiausaha Agung: Hasan Abdullah, M. Najib Hassan
Timbalan Setiausaha Kewangan: Sham Jalil
Ahli Majlis Biasa: Rusli Asri, Alwi Zaman, Rosebi Ibrahim, Mohidin Hashim, Mirnawan Nawawi, Nik Anuay Abdullah
Juruaudit Dalam: Rosli Mohammed, A. Razak Din