Pembabitan lebih perkasa, terbuka bagi badan pengadil kriket

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengadil dan Pencatat Kriket Malaysia (ACU & S) akan mengembangkan pembabitan meluas kepada ahli dalam misi tugasan serta penyertaan masing-masing.

”Ini tidak bermaksud ACU & S selama ini tidak bersemangat dalam hala tuju tetapi penekanan lebih kuat serta teguh tanpa apa jua masalah perlu dilaksanakan,” kata presiden baharu pertubuhan itu, C. Shivanandha sewaktu bercakap dalam mesyuarat agung dwitahunan di sini, 18 Oktober 2026.

Di bawah kepemimpinan presiden terdahulu, Charlie Chelliah, beberapa kegiatan penting dianjurkan terutama Program Kepemimpinan Pengadil Perempuan hasil sokongan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Kriket Malaysia (MCA).

Juga dikendalikan seminar pencatat peringkat asas di samping penyertaan ramai dalam kursus dalam talian tahap satu pengadil anjuran Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).

Dalam menghasilkan pelbagai kegiatan seperti ini, ACU & S mengharapkan sokongan berterusan yang lebih rancak daripada MCA dan badan-badan pengadil antarabangsa lain.

”Adalah didapati jumlah pengadil yang layak semakin berkurangan. Keperluan dari sudut latihan dan kursus atau seminar boleh dibantu kami,” kata Shivanandha, bekas pembuka pukulan aksi liga tempatan tahun 1980-an.

Untuk maju ke arah lebih cemerlang, ACU & S juga akan mewujudkan sebuah jawatan yang dinamakan setiausaha tugasan (assignment secretary) bagi membantu MCA dalam kerja-kerja pelantikan pengadil dan pencatat.

Dalam mesyuarat agung itu, seorang guru, Mathan Kumar Muniandy disahkan sebagai setiausaha manakala pengadil antarabangsa juga bekas askar, Sivan Narayanan dipilih timbalan setiausaha.

Pengadil ternama yang juga pengetua sekolah, Shafizan Shahriman diperakukan timbalan presiden manakala akauntan bertauliah, Azmi Jaafar kekal bendahari.

Shivanandha juga akan bersemuka dengan Presiden MCA, Mahinda Vallipuram dalam seminggu dua ini  sekali gus berkenalan dengan Ketua Pegawai Operasi baharu badan itu yang berasal dari Nepal, Binod Das.

Mesyuarat agung juga merakamkan penghargaan kepada kerja keras bekas setiausaha, Gerard Denis Singam yang kini berehat kerana kurang sihat.

”Beliau bertugas dengan baik sekali terutama menjalin hubungan dengan badan pengadil antarabangsa,” katanya.



ANTARA ahli yang hadir ke mesyuarat agung dwitahunan ACU & S, 18 Oktober 2026.



SHIVANANDHA… wajah tegas presiden baharu ACU & S.



TURUT hadir bekas pemain kebangsaan, Rakesh Chandar-Nair (kanan) dan pengadil veteran, Magathewar Murugesu.



MATHAN KUMAR MUNIANDY… seorang guru yang kini dipilih setiausaha.



SHAFIZAN… pengetua sekolah juga seorang pengadil berpengalaman dilantik timbalan presiden.