Speaker DUN Kelantan minta bantu kriket tanpa syarat

KOTA BHARU - Semua jabatan kerajaan negeri digesa membantu dalam misi membangunkan semula sukan kriket di Kelantan.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berharap Persatuan Kriket Negeri Kelantan mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Majlis Sukan Negeri serta jabatan-jabatan dalam misi mengepalai program tanpa banyak syarat untuk mempertahankan kegarangan barisan kriket negeri baik dalam saingan peringkat usia dan skuad utama.

Beliau yang terkejut dengan kelembapan prestasi Kelantan buat masa ini meminta jabatan pendidikan negeri memperhebatkan semula program penempatan pemain di sekolah terutama sekali perancangan dii Maktab Sultan Ismail (SIC) bagi pendedahan secara tersusun selepas pembangunan bawah 12 tahun.

Kriket Kelantan terhenti pembangunan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra, Gua Musang dan memohon Pengarah Pendidikan Negeri baharu, Siti Norina Muhamad melakukan yang terbaik bagi memulakan program di SIC selepas usaha lebih satu tahun tidak berjaya.

”Dengan sokongan banyak, saya berharap Kelantan kembali digeruni lawan lebih-lebih lagi misi mengaut emas dalam Sukma 2028 di negeri ini,” katanya sewaktu merasmikan mesyuarat agung tahunan persatuan itu di sini baru-baru ini.

Sebagai peminat legenda kriket England, Ian Botham, beliau juga yakin menerusi kehebatan fizikal dalam penyediaan sesebuah pasukan, ia bakal menyerlahkan kejayaan.


”Di samping menumpukan tuntutan agama Islam, bersukan merupakan kegiatan sihat kepada masyarakat,” katanya.

Tiada pemilihan ahli jawatankuasa dalam mesyuarat agung tahun ini.

Yang Dipertua Kriket Kelantan, Datuk Azmi Mohd. Ali juga akan berjumpa dengan Pengetua SIC dengan kadar segera bagi membincangkan penempatan baharu serta kemudahan asas yang perlu diperbaiki.

”Saya pernah menghadiahkan rumput tiruan di SIC tetapi buat masa ini ia sudah rosak kerana terbiar,” katanya yang juga bekas pelajar maktab berkenaan.

Pembangunan bawah 12 dan menengah di Machang kekal di bawah program Kriket Malaysia dan Kriket Kelantan.



AZMI MOHD. ALI (kiri) menyerahkan penghargaan kepada Mohd. Amar; turut sama ialah Timbalan Yang Dipertua Kriket Kelantan, Wan Mohd. Nasir Wan Omar. (Foto: Kriket Kelantan)



SPEAKER Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd. Amar Abdullah serius dalam ucapannya sebelum merasmikan mesyuarat agung tahunan Kriket Kelantan. (Foto: Kriket Kelantan)



AHLI yang menghadiri mesyuarat agung tahunan tekun dan bersedia untuk bersidang. (Foto: Kriket Kelantan)



ESI bergambar dengan Speaker DUN Kelantan, Mohd. Amar Abdullah (tengah, baju hijau). (Foto: Kriket Kelantan)