Perginya tokoh kriket berjiwa besar
Friday, 21 August 2026 23:26

PETALING JAYA - Tokoh kriket, Abdul Salim Hussin meninggal dunia pukul 3 petang, 20 Ogos 2026 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat jangkitan kuman di jantung. Beliau berusia 77 tahun.
Berasal dari Raub, pesara Jabatan Veterinar Pahang telah mewakili negeri itu dalam kriket mulai tahun 1970-an, Apapun ketokohannya yang tidak akan dilupakan ialah melahir serta meyalurkan ramai bintang untuk mewakili skuad kebangsaan dan pasukan peringkat usia nasional.
Bermula dalam pembangunan di Kuantan, Pekan dan seterusnya di kampung halaman isterinya di Parit Jawa, Johor. Allahyarham antaranya yang bersungguh-sungguh dalam program pembangunan di bawah naungan Persatuan Kriket Melayu Malaysia seawal tahun 1998.
Antara pemain kebangsaan yang ditonjolkannya ialah pemutar kiri nasional, Shahrulnizam Yusof, pemain perempuan negara, Arianna Natasya Benn Rakquidean serta tidak pernah dilupakan pembaling pantas skuad bawah 19 Malaysia, Kasman Kaderi.
”Jiwanya sememangnya kriket. Pemain di bawah kelolaannya diajar disiplin tinggi, menghargai semangat kesukanan dan berjiwa bersih,” kata Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Kriket Melayu sering menghargainya walaupun tidak dibicarakan sehingga ke peringkat kepemimpinan tinggi negara. Pengorbanannya kepada sukan sekali gus menonjolkan bakat dari peringkat bawah 12 tahun hingga ke pentas kebangsaan merupakan kejayaan besar. Apa lagi dengan kualiti pemain yang tersedia untuk pasukan nasional.
Abdul Salim juga dipilih mengiringi enam pemain bawah 13 tahun untuk berlatih buat kali pertama selama tiga minggu di Sri Lanka pada November 2002. Pemain ke sana ialah Faris Almas-Lee, Aminudin Ramly, Elmi A. Rahman, Kasman Kaderi, Hafiz Zaman Huri dan Haziq Norhaizan yang hanya berusia 12 tahun.
”Saya masih ingat, sewaktu pemain berlatih di Stadium Ranasinghe Premadasa, perintah berkurung dikuatkuasakan secara mengejut. Abdul Salim menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Colombo, Datuk Iskandar Sarudin untuk membantu. Cukup dihormati, Datuk Iskandar memandu sendiri kereta rasminya untuk menghantar pemain balik ke penginapan di Kompleks Sukan Nasional Sugathadasa,” kata bekas pemain kebangsaan, Mohd. Sham Jalil.
Di samping bertindak sebagai jurulatih, Abdul Salim juga arif dalam kepengadilan dan referi perlawanan. Dia turut dihantar Kriket Melayu ke Australia sebagai pengadil dan pengurus skuad bawah 18 Melayu Malaysia.
Antara pemain peringkat usia kebangsaan menerusi kerja kerasnya sejak program bawah 12 ialah Kasman Kaderi, Fauzan Malik, Rasul Iqbal Ghazali, Danial Emir Eizzat Fzulkifli, Hamzimifzal Puad, Kamarul Anuar Azhar, Ramdan Samsudin, Adzim Yahya, Ammar Uzair Fakri dan Noor Afif Saufee.
”Setahu saya, dalam rekod, (Abang) Salim mengumpulkan ratusan pemain berkeupayaan tinggi dan berdisplin; baik lelaki atau perempuan,” kata Setiausaha Agung Kriket Melayu, M. Najib Hassan.
Jenazah dibawa pulang ke Parit Jawa untuk disemadikan, 21 Ogos 2026.
Jasamu sentiasa dikenang.

ABDUL SALIM... membangunkan pemain yang berkualiti dan berdisiplin. (Foto: Persatuan Kriket Melayu Malaysia)

SHAHRULNIZAM… antara pemutar kiri ternama negara. (Foto: Persatuan Kriket Melayu Malaysia)

KE SRI LANKA… Abdul Salim (empat kiri) bersama bawah 13 sebelum berlepas ke Colombo untuk mengharungii latihan selama tiga minggu pada November 2022. (Foto: Persatuan Kriket Melayu Malaysia)

KASMAN KADERI… sewaktu berusia 11 tahun di bawah program Abdul Salim di Pekan, Pahang. (Foto: Persatuan Kriket Melayu Malaysia)

