Tentera bergaya kuasai pertandingan

Tentera juara lagi dengan kemenangan 99 larian ke atas Negeri Sembilan dalam babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri di Bayuemas Oval, 9 Ogos 2026.

Tetapi jaguhan itu turut resah pada permulaan memukul apabila pembuka ganas Anwar Arudin dipaksa pulang ke astaka pada kedudukan dua di papan catatan. Merunsingkan juga dalam 26.1 over, pasukan itu cuma mengumpul 96-5.

Apapun gandingan berani dua pemain berasal dari Sungai Petani, Suharril Fetri Shuib (67 larian) dengan Syazrul Ezat Idrus (51) berjaya melonjakkan angka ke tahap 245-8 sekali gus berupaya menamatkan pukulan dengan menghimpun  267-9.

Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain muda yang akan beraksi dalam Sukma XXII di Selangor bermula minggu hadapan, masih berupaya mengejar sehingga 168 dalam 43.4 over. Pemain serba boleh yang beraksi enam bulan dalam Liga Western Province, Afrika Selatan, Azwar Tajri bergaya menyumbangkan 46 larian.

”Hari ini keadaan berbeza; pemain lebih berkeupayaan dan bersemangat walaupun tidak dapat menandingi Tentera yang terlalu kental,” kata pengurus yang juga Yang Dipertua Persatuan Kriket Negeri Sembilan, Sezar MFT Senathiraj.

Timbalan Setiausaha Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Sabri Idris berharap pertubuhan yang berkaitan mesti melaksanakan program pembangunan secara serius di peringkat bawah 12 lagi seperti penghasilan pemain hebat dahulu yang masih terbukti dalam skuad Tentera sekarang.

Timbalan Presiden Persatuan Pengadil dan Pencatat Malaysia (ACUS), Shivanandha Chellappah, Naib Yang Dipertua Kriket Melayu Malaysia, Iliyas Jamil dan Setiausaha Kriket Malaysia, Richard Tan Wuu Chyau telah menyampaikan hadiah dan cenderamata termasuk Perisai Raja-Raja yang bernilai tinggi itu kepada penerima sebaik selesai perlawanan akhir.

Bekas Presiden Kriket Malaysia juga bekas pemukul pembukaan skuad nasional, Iqbal Ali Kassim Ali turut berada di Bayuemas Oval untuk menyaksikan pertemuan akhir itu.

BABAK AKHIR:

Tentera kalahkan Negeri Sembilan dengan 99 larian.

Tentera 267-9 (50 over) Suharril Fetri Shuib 67; Syazrul Ezat Idrus 51; Syahadat Ramli 40. Syahir Syamel Shaari  2-37; Faliq Alauddin Tarmimi 2-68.
Negeri Sembilan 168 (43.4 over) Azwar Tajri 46; Amirul Zakuan Abdullah 31. Haziq Hashim 3-15; Asby Tan Aris 2-9.

Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Ammar Uzair Fakri (JOH)
Pengurus perlawanan: Hamrizal Haris (TER)
 


JUARA 2026... barisan Tentera menayangkan kekentalan setelah menumbangkan Negeri Sembilan dengan 99 larian sekali gus merangkul Perisai Raja-Raja bagi tahun ini. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia



LAGI rakaman kegembiraan skuad Tentera; dibarisi ramai pemain kebangsaan dan bekas pemain nasional yang masih hebat dan berkualiti. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia
 


PENGHORMATAN… Setiausaha Kriket Malaysia, Richard Tan Wuu Chyau (tengah) menyerahkan Perisai Raja-Raja kepada kapten Tentera, Syahadat Ramli manakala Iliyas Jamil melakarkan senyuman. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia



SUHARRIL FETRI… bersedia menerima serbuan pembaling Negeri Sembilan. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia



NEGERI SEMBILAN… naib juara musim 2026. Azwar Tajri (depan; baju hitam) amat gembira dengan himpunan 46 larian. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia