Keperkasaan Tentera terlalu menggerunkan

Tentera menampilkan kegarangan dengan mencapai angka tertinggi dalam sejarah Kejohanan Kriket Antara Negeri apabila mengumpulkan 457 sekali gus membelasah Sabah dengan 363 larian di YSD-UKM Oval, 5 Ogos 2026.

Skuad juara tahun 2025 itu, masih berbaki dua wiket ketika menamatkan pukulan dalam peruntukan 50 over dengan bekas pemain perkasa kebangsaan, Suharril Fetri Shuib menghimpun 126 tanpa tewas menerusi 94 pukulan.

Turut sama cemerlang di lapangan tengah ialah pemain terbaik babak akhir 2025, Iqraam Akhir dengan 86 larian hasil hayunan 41 balingan.

”Memang atas kertas, kami terlalu garang. Sebagai sebuah pasukan, kumpulan ini boleh melaksanakan pelbagai percaturan,” kata pemutar kiri Tentera, Rashid Ahad yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan.

Sabah bertahan setakat 26 over dengan mengumpulkan 94 larian.

Pengurus Sabah juga bekas pembuka pukulan skuad kebangsaan, Hatta Patombongi akur kekuatan barisan lawan dan berharap pasukannya dapat menjinakkan Perlis keesokan hari bagi bermain dalam separuh akhir.

Di Bayuemas Oval, Pahang enggan dimalukan apabila membaham Selangor dengan enam wiket. Perhitungan Selangor-Negeri Sembilan pada hari berikut bakal jadi penentu kemaraan Pahang.

KEPUTUSAN

Pahang kalahkan Selangor dengan 6 wiket.

Selangor 136 (43.5 over) Mahathir Razali 44;  Aqil Zafran Azroy 28.
Zulamry Mohdin 3-45; Faqihul Aiman Rani 2-22.

Pahang 137- 4 (19 over)  Lukman Sahar 39; Amdam Wiliyoh 34; Fauzan Malik kekal 33; Mahathir Razali 2-38.

Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Ammar Uzair Fakri (JOH)
Pengurus perlawanan: Hamrizal Haris (TER)
 
Tentera kalahkan Sabah dengan 363 larian. 

Tentera 457-8 (50 over) Suharril Fetri Shuib kekal 126; Iqraam Akhir 86;
Anwar Arudin 64; Aiman Afiq Suhaimi 61; Asby Tan Aris 57.
Saufi Salim 2-25

Sabah 94 (26 over) Afiq Jabri Bahri 20; Ahmad Tajudin Ismail 16; Faris Afiq Mazlan 15.
Rashid Ahad 3-17; Haziq Hashim 2-17;
Qayyum K. Blukeni 2-7; Asby Tan Aris 2-27

Pengadil: Rudy Ismandi Mansor  (Pk) & Chandra Seger  Maria Dass (Pk)
Pencatat: Muzili Aznor Musa  (Pk)
Pengurus perlawanan: Sabri Idris (NS)

JADUAL 6 OGOS 2026

SELANGOR lwn NEGERI SEMBILAN
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)

SABAH lwn PERLIS
(YSD-UKM Oval, 9.30 pagi)


PENGADIL dan ketua pasukan Selangor dan Pahang berdiri di lapangan tengah sebelum melakukan undian di Bayuemas Oval, 5 Ogos 2026. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia


PENGURUS Pahang, G. Rasul Iqbal (seluar hitam) memberi arahan dan amaran kepada pemain agar dapat mengatasi Selangor. - Gambar: Persatuan Kriket Melayu Malaysia


SELANGOR yang dibarisi ramai pemain muda sebagai persediaan menghadapi pertarungan lebih besar. Gambar: Persatuan Krikat Melayu Malaysia