Peluang lebih terbuka dalam kumpulan A

Juara bertahan, Tentera kurang bermasalah ke separuh akhir dan seterusnya berentap untuk menjadi johan dalam aksi Kriket Antara Negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja bermula 4 Ogos 2026.

Diletakkan dalam kumpulan B, skuad kental itu diramalkan akan bersahaja  menumpaskan Sabah dan Perlis dalam pusingan awal.

Pengarah kejohanan, Nazmir Sungip melihat bahawa pertarungan dalam kumpulan A lebih terbuka dengan naib johan tahun lepas, Pahang tidak mudah berdepan Negeri Sembilan dan Selangor.

Kejohanan tahun ini berpandukan format 50 over di dua gelanggang, YSD-UKM Oval dan Bayuemas Oval.

Tentera yang dibarisi ramai pemain dan bekas pemain kebangsaan antaranya, Rashid Ahad, Wafiq Irfan Zarbani, Syazrul Ezat Idrus, Syahadat Ramli dan pemain terbaik babak akhir 2025, Iqraam Akhir, dilihat pilihan utama merangkul perisai yang disediakan untuk menjadi rebutan sejak tahun 1951 itu.

Perlawanan akhir berlangsung di Bayuemas Oval pada 9 Ogos 2026 dengan kehadiran pegawai utama Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed dan Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

JADUAL:

4 Ogos: Pahang lwn N. Sembilan (Bayuemas Oval); Tentera lwn Perlis (UKM Oval).
5 Ogos: Selangor lwn Pahang (Bayuemas Oval); Tentera lwn Sabah (UKM Oval).
6 Ogos: Negeri Sembilan lwn Selangor (Bayuemas Oval; Perlis lwn Sabah (UKM Oval).
8 Ogos: Separuh akhir (Bayuemas Oval & UKM Oval)
9 Ogos: Akhir (Bayuemas Oval).
 




TENTERA kembali menguasai saingan tahun 2025.



ANTARA tetamu perlawanan akhir Tentera-Pahang di Kelab Aman tahun 2025. Abdul Azim Mohd. Zabidi (tengah, baju putih) hadir sebagai Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu.

 

PEMUKUL pembukaan Tentera, Iqraam Akhir bergaya apabila melakukan pukulan seratus.