200 pemain dihimpun bersama jaguhan Sri Lanka
Thursday, 16 April 2026 18:33

Tidak kurang daripada 200 pemain kriket bawah 12 atau remaja berpeluang bersama nama-nama besar dari Sri Lanka khusus menerima bimbingan pada 16 Mei 2026 di Kiara Oval, Kelab Selangor Diraja (RSC).
Ini merupakan aturcara besar oleh RSC menerusi barisan penganjuran diketuai Devindran Ramanathan; seorang pemain kriket yang dikenali ramai.
”Kegiatan klinik kriket dan pelbagai lagi selama dua hari (bermula 15 Mei) diperkenankan oleh RSC dengan menyediakan kemudahan asas di samping beberapa firma yang bakal menampung kos kehadiran pemain yang kini bermastautin di serata pelosok dunia,” kata Devindran.
Devindran akan memastikan ramai pemain menerima tunjuk ajar daripada barisan Sri Lanka yang kali pertama membawa negara itu memenangi kejuaraan kriket Piala Dunia pada tahun 1996.
Setakat ini, sepuluh pemain skuad yang menumpaskan Australia dengan tujuh wiket dalam babak akhir di Lahore, Pakistan itu memberi kepastian hadir.
Mereka ialah kaptennya, Arjuna Ranatunga (pemukul awal), Sanath Jayasuria (pembuka pukulan / pemutar kidal), Romesh Kaluwithirana (pemukul pembukaan / penjaga wiket), Aravinda da Silva (pemukul awal / pemutar kanan) , Hashan Tillakaratne (pemukul), Roshan Mahanama (pemukul awal), Chaminda Vaas (pembuka balingan), Marvan Atapattu (pemukul awal), Upul Chandana (pemutar kiri) dan Ravindra Pushpakumara (pembaling separuh pantas).
”Antara tujuan menganjurkan temasya dua hari ini ialah mengumpulkan dana sekali gus membantu pembangunan kriket di luar bandar termasuk keaktifan program kriket Orang Asli di Perak yang digerakkan dengan jayanya,” katanya.
Diharapkan agar mereka yang berminat untuk menghantar pemain mengharungi klinik kriket ini diminta menghubungi talian 019 2411471 bagi urusan pendaftaran bagi memanfaatkan semua.
Juga diberitahu bahawa lebih 2,000 orang akan hadir pada 16 Mei bagi kegiatan klinik, aksi klasik jaguh Sri Lanka menentang sebuah pasukan yang dinamakan Rest of the World.
Juga sesiapa yang berminat untuk mewujudkan bazar di sekeliling padang, boleh turut sama menyertai menerusi perbincangan yang menguntungkan semua pihak.
KEGIATAN DIRANCANG:
15 MEI 2026 (JUMAAT): Makan malam di RSC Dataran Merdeka mulai 7 malam. (Peluang beramah mesra)
16 MEI 2026 (SABTU): Klinik bersama jaguh Sri Lanka mulai 11 pagi hingga 1 petang di RSC (Kiara Oval).
Aksi klasik (senior dan masters) Sri Lanka Legends menentang Rest of the World.

MENJULANG PIALA DUNIA… Arjuna Ranatunga bergembira selepas menerima trofi juara daripada Perdana Menteri Pakistan waktu itu, Benazir Bhutto di Lahore.

DEVINDRAN RAMANATHAN… orang kuat pelaksanaan projek besar ini.

ROSHAN MAHANAMA (kiri) dan Asanka Gurusinghe, masing-masing pemukul awal.

BARISAN Sri Lanka yang memenangi Piala Dunia 1996.

Wakah terkini… pemutar kanan digeruni, Muthiah Muralitjaran (kiri) dan kaptennya, Arjuna Ranatunga.

