Ada guru berlagak - Azim

Program pembangunan kriket di negara ini dilihat semakin sukar berikutan kemerosotan sokongan pengurusan sekolah yang turut membabitkan pegawai pendidikan sama ada di kementerian atau di jabatan negeri.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi secara terang-terang membuat pendedahan apabila dilakukan perbandingan pembangunan awal tahun 2000 dengan setahun dua ini.

”Saya dapati kedua-dua kumpulan dimaksudkan hanya mahukan khidmat percuma sahaja tetapi sebagai susulannya, mengenakan syarat yang tidak masuk akal kepada persatuan.

”Ada di kalangan yang berlagak dan sering menganggap pegawai atau jurulatih persatuan di bawah telunjuk mereka,” tegas Abdul Azim sewaktu mempengerusikan Persidangan Agung Tahunan Kriket Melayu di Kuala Lumpur, 4 April 2026.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) itu juga terkejut dengan sikap pengurusan sekolah yang sering campur tangan dalam keseriusan pelaksanaan program walaupun mereka berkefahaman rendah dalam sukan itu.

Bukan itu sahaja, malah ada juga pegawai tinggi di jabatan pendidikan negeri difahamkan  enggan melayan kegiatan pembangunan seolah-olah tidak ingin bekerja lebih.

Dengan lantang, Abdul Azim meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad mengambil tahu perkara ini dengan tidak hanya mengambil pandangan sebelah pihak sahaja.

”Kriket Melayu sanggup membuat pendedahan mengenai perkara ini kerana ia mencacatkan keseriusan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, semua jawatan dalam pemilihan musim 2026-2028 dimenangi tanpa bertanding kecuali kedudukan Yang Dipertua Kriket Melayu. Muka baharu dalam majlis ialah Ahmad Sabri Idris sebagai timbalan setiausaha dan bekas pemain peringkat usia nasional, Rasul Iqbal Ghazali.

Ramai bekas pemain projek Kriket Melayu juga hadir dalam pertemuan khas selepas persidangan agung itu di Rumah Kriket Melayu. Beberapa pemain yang masih dalam skuad kebangsaan dan peserta-peserta nasional perempuan turut sama memeriahkan majlis.

Pengurus skuad bawah 12 Gemencheh yang membawa kecemerlangan 20 tahun lalu, Norazmi Che Lah sanggup hadir walaupun kurang sihat.

MAJLIS PERSATUAN KRIKET MELAYU MALAYSIA 2026-2028:

Timbalan Yang Dipertua: Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Naib Yang Dipertua: Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed, Iliyas Jamil.

Setiausaha Agung: Mohd. Najib Hassan.

Setiausaha Kewangan: Rosmanizam Abdullah.

Timbalan Setiausaha Agung: Mohd. Nazmir Sungip; Ahmad Sabri Idris.

Timbalan Setiausaha Kewangan: Ramli Din.

Ahli Majlis Biasa: Ir. Dr. Zainal Fitri Zainal Abidin, Faris Almas-Lee, Sanah Manap, Muammar Isaruddin Mat Isa, Amir Amsyar Zamzam, Rasul Iqbal Ghazali.

Juruaudit Dalam: Faizshal Niaz-Lyn, Azemi Azizan.


AZIM... nak lakukan pendedahan.



AHMAD SABRI… timbalan setiausaha baharu.



RASUL IQBAL… ahli majlis



PEMAIN projek yang berjaya bersama Rosmanizam Abdullah (tengah) dan Norazmi Che Lah (empat kiri). Dari kiri, Zaid Asyraf Norazmi, Elmi A. Rahman, Firdaus Rusli, Nazril A.Rahman, Aliman Ahmad dan Zubair Asyraf Norazmi.



ANTARA pemain projek Kriket Melayu yang kini masih mewakili skuad nasional perempuan Malaysia. Mas Elysa Yasmin Zulkifli (kiri), Mahirah Izzati Ismail (dua kiri), Ainna Hamizah Hashim ( lima kiri), Noor Hayati Zakaria (dukung anak) dan Nik Nur Atiela Nik Din. Bergambar bersama Rosmanizam Abdullah di Rumah Kriket Melayu, 4 April 2026.