Kenapa Haikal-Harith hilang?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tahun 2025 Persatuan Kriket Sarawak, Haikal-Harith Adam Prakash tidak dapat dikesan.

”Di manakah Haikal sejak awal bulan lepas? Tanya seorang pegawai veteran Kriket Sarawak.

Difahamkan kontrak Haikal-Harith bersama Perbadanan Sukan Sarawak hanya sehingga Disember 2025 tetapi tidak diketahui pula sama ada Kriket Sarawak menyokong penerusan khidmatnya setelah bertugas setahun di Kuching.

”Dengar-dengar, prestasinya dari sudut pentadbiran dan program pembangunannya amatlah hebat.

”Saya khuatir ada perkembangan tidak baik,” kata bekas pemain kebangsaan, juga rakan Haikal-Harith, Azmi Abdul Majid dari Johor.

Haikal-Harith yang juga bertindak sebagai pengarah pembangunan kriket di Sarawak telah memulakan program di luar daerah dan pedalaman negeri itu, amat diperlukan oleh guru-guru yang membantunya merangka perancangan peringkat akar umbi.

Kriket Sarawak yang ‘dihadiahkan’ sebuah stadium kriket bernama Borneo Oval oleh kerajaan negeri perlu bertanggungjawab ke atas ‘kehilangan’ Haikal-Harith yang dikatakan orang penting dalam persatuan itu.

Bermacam-macam usaha telah dibuat untuk mendapatkan Haikal-Harith yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Kriket Johor.

Difahamkan, dia juga rapat dengan pegawai kriket atasan di Bhutan. Apakah ada kemungkinan dia membantu skuad perempuan negara itu untuk mengaibkan Malaysia yang kalah dua kali berturut-turut pada saingan Piala Lotus di Stadium Gelephu, Bhutan, Januari 2026?



HAIKAL-HARITH… juga cemerlang sewaktu mentadbir Johor.



HAIKAL-HARITH (kiri) bersama Setiausaha Kewangan Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Rosmanizam Abdullah di Borneo Oval, Sarawak 10 Disember 2025.