Memalukan, sokongan jurulatih di VI terhenti

Program pembangunan kriket di Victoria Institution telah dihentikan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia berkuat kuasa 29 November 2025 berikutan masalah pengurusan sekolah itu.

Kriket Melayu bersetuju untuk memulakan kegiatan melatih pemain di VI sejak Mei 2023 setelah dimohon pengetua sekolah itu, Abdul Samad Othman.

”Apapun, mesyuarat majlis awal November telah bersetuju untuk menamatkan khidmat kepada VI kerana tidak wujud persefahaman dan janji-janji yang tidak ditepati berhubung proses latihan dan pembangunan,” kata Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.


Bagi Kriket Melayu, ini merupakan babak memalukan kerana pengurusan sekolah termasuk pengetuanya terlalu mengharapkan guru penolong kanan, Mizy Mustapha.

”Kami yang membayar elaun jurulatih tetapi banyak susulan pembangunan dan kegiatan yang sahih menemui kegagalan; juga campur tangan dalam hal kejurulatihan. Pada hakikatnya, mereka tidak faham langsung kriket.”

Dengan penampilan Kriket Melayu dalam dua tahun itu, VI menang besar sebagai juara bawah 18 temasya Majlis Sukan Sekolah-Sekolah WPKL pada 2024 dan 2025. Sekolah ini turut menang kejohanan bawah 16 Kuala Lumpur; juga dalam dua tahun.

”Kriket Melayu mengambil tanggungjawab membantu sebahagian pemain VI yang kini sudah ‘naik taraf’ untuk perpindahan ke sekolah kriket lain agar pencapaian dapat dilonjakkan” kata Azim, bekas Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Kriket Melayu sedia memberi penerangan padat masalah dihadapi, jika ada pihak yang lebih tinggi memerlukannya.
 


Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi. -- Kredit: Foto BHarian



A. SAMAD OTHMAN … Pengetua Victoria Institution.