Jutaan ringgit siapa bertanggung jawab?
Friday, 16 January 2026 10:22
DALAM akaun Persatuan Kriket Malaysia (MCA) setakat sembilan bulan berakhir 30 Sepember 2025 ternyata perolehannya berjumlah RM11.5 juta manakala belanja dalam RM10 juta.
Angka kedua-dua cabang dalam perbelanjaan dan pendapatan adalah tinggi. Ia dihalusi dalam mesyuarat majlis MCA, 10 Januari 2026 yang dihadiri anggota majlis eksekutif dan wakil negeri.
Ada bersuara lantang dan ada yang juga curiga bagaimana wang sebanyak itu mampu keluar-masuk dalam sembilan bulan. Ia menggerunkan kerana MCA ada kes mahkamah yang masih dalam bicara. Kes di Mahkamah Tinggi masih diteruskan pada Febuari ini dan difahamkan akaun MCA sudah berbulan-bulan dibekukan.
Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) enggan bertindak atau mengambil apa jua keputusan kerana menunggu keputusan kes yang membabitkan pertikaian sebelum dan selepas mesyuarat agung MCA April 2025. Tapi bagaimana MCA boleh mengendalikan aliran wang berjuta-juta ringgit?
Difahamkan, Mahinda Vallipuram yang mempengerusikan mesyurat majlis itu mengesahkan bahawa pejabat Pesuruhjaya Sukan masih enggan memproses laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) yang dihantar MCA. Perlu diketahui bahawa dalam MYKB ia mesti dihantar sebaik selesai mesyuarat agung sesebuah persatuan sukan dengan penampilan minit mesyuarat agung terkini, laporan akaun tahunan, senarai ahli jawatankuasa terkini dan laporan tahunan.
Persoalannya, tanpa pengesahan anggota majlis eksekutif MCA, siapa yang menandatangani kelulusan pengeluaran wang dan ke akaun mana ia disalurkan. Apakah transaksi berjuta-juta secara tunai?
Dalam perlembagaan MCA, ada peruntukan bahawa seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) boleh menandatangani sebarang kelulusan pengeluaran dengan bendahari tetapi jumlahnya tidaklah besar. Satu lagi keraguan ialah senarai ahli majlis eksekutif pun belum disahkan berpandukan keengganan PJS memproses MYKB, bagaimana pula bendahari boleh terbabit? Atau ada kuasa besar daripada Kementerian Belia dan Sukan atau jabatan kerajaan lain memberikan kebenaran?
Pertelingkahan yang mencemaskan juga berlaku dalam mesyuarat majlis itu berikutan penjelasan yang tidak memuaskan dan menampilkan kegarangan individu; difahamkan kerana buruk sangka.
Di samping Vallipuram, bendaharinya,Sehar Sinnadurai juga banyak kali ‘naik angin’ dengan Presiden Kriket Negeri Sembilan, Senathiraj Thevaratnam. Senathiraj 38, merupakan anak jurulatih yang banyak berjasa, MF Thevaratnam. Dia banyak membangkitkan persoalan kontroversi membabitkan hal-hal semasa, kewangan dan masa depan kriket di Malaysia yang sukar ditepis. Ini amat membimbangkan jika ada banyak rahsia masih belum terdedah.
MCA, kalau boleh, jangan cuba berselindung. Pesuruhjaya Sukan kena lebih tekun mengharungi tugasan manakala gabungan MCA perlu berhati-hati agar tidak hanya mengikut telunjuk. Jangan lindungi kebenaran.

