Tentera terlalu gagah dalam babak akhir

KUALA LUMPUR - Tentera terlalu perkasa buat Pahang yang tersungkur dengan 231 larian dalam babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri di Kelab Aman, 17 Ogos 2025.

Walaupun memenangi undian dan cuba memancing lawan, Pahang menerima kejutan apabila gandingan wiket pertama Tentera menghasilkan 198 larian dalam 23.1 over.

Dua pembuka pukulan cemerlang di lapangan tengah bagi Tentera ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra di Gua Musang,  Iqraam Akhir yang melakukan 108 hanya menerusi 71 balingan dan Anwar Arudin dengan 88 larian dalam 71 serbuan.

”Angka ini terlalu tinggi tetapi misi untuk bermain dengan baik tidak kesampaian. Kami juga diganggu hujan selama dua kali,” kata pengurus Pahang, G. Rasul Iqbal.

Sesudah Tentera mengumpulkan 296 larian, Pahang gagal menguasai lapangan tengah dengan kedudukan 5-40; seterusnya dibenam apabila hanya mampu melakukan 65 dalam 21.3 over.

Pengerusi kriket Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong yang turut hadir, jelas amat gembira dengan pencapaian pasukannya.

Saingan merebut Perisai Raja-Raja merupakan antara kejohanan tertua di negara ini yang dimulakan sejak tahun 1951 anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

BABAK AKHIR

Tentera kalahkan Pahang dengan 231 larian.

Tentera 296-7 (40 over) Iqraam Akhir 108; Anwar Arudin 88. Haris Harzan Halim 3-49; Wan Zharif Zaki 2-35.
Pahang 65 (21.3 over)  Amdam Wiliyoh kekal 18. Wafiq Irfan Zarbani 4-26; Syahadat Ramli 3-18.

Pemain terbaik babak akhir: Iqraam Akhir (TEN)
Pengadil: Sivan Narayanan & Mathan Kumar Muniandy
Pencatat: Faris Almas-Lee (KL)
Pengurus perlawanan: Arina A. Rahim (Pk)



SKUAD JUARA... barisan Tentera meraikan kecemerlangan merangkul Perisai Raja-Raja telah menumpaskan Pahang dengan 231 larian di Kelab Aman, 17 Ogos 2025.



PEGAWAI bersama barisan Pahang dan Tentera bergambar selepas babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri musim 2025.



TANDA PUKULAN SERATUS… pembuka pukulan Tentera, Iqraam Akhir terlalu gembira apabila mencapai angka 100 di lapangan tengah.



PENGURUS perlawanan, Arina A. Rahim menerima cenderamata daripada Pengerusi Kriket Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Tong Veng Leong.



PENGACARA Kriket Melayu sejak tahun 1997, Selvanathan Subramaniam masih meneruskan khidmatnya.