Kriket Perisai Raja-Raja - Hari Ke-2
Thursday, 05 March 2009 16:31
Tentera tayang keperkasaan
KUALA LUMPUR 5 Mac - Juara bertahan, Tentera menayangkan keperkasaan dengan kemenangan sembilan wiket ke atas Remaja Bawah 15 dalam saingan kriket merebut Perisai Raja-Raja di Bayuemas Oval, Klang hari ini.
Di UKM Oval, tuan rumah, Selangor-UKM tidak menghadapi masalah untuk mengatasi Sabah dengan lapan wiket sekali gus merehatkan kemaraan barisan dari Malaysia Timur itu dalam pertandingan ternama yang dianjur sejak tahun 1951.
Turut sama terkeluar daripada saingan ialah barisan bawah 15 yang hanya dipanggil bersaing berikutan keengganan Johor bertanding musim ini kerana masalah dalaman pasukan berkenaan.
‘’Kami akan memastikan kemaraan ke separuh akhir Sabtu ini dengan gaya tersendiri,’’ kata kapten Tentera, Razman Zabri.
Tanpa mengetepikan hakikat bahawa mereka bakal bertemu Kedah dalam perhitungan tempat teratas kumpulan A hari ini, Tentera terlalu yakin untuk menghimpit skuad utara iatu ke tangga kedua kumpulan.
Selangor-UKM yang rata-rata dibarisi pemain kebangsaan serta barisan pelapis negara tetap menghormati Negeri Sembilan yang teguh dengan sebahagian besar pemain berpengalaman.
‘’Peluang sama rata dan harapan kami agar perlawanan penentu juara kumpulan ini tidak diganggu hujan,’’ kata pengurus Selangor-UKM, Fairus Shafie.
Pertemuan yang dihadkan kepada 46 over kerana gangguan hujan di Bayuemas Oval telah mengehadkan skuad bawah 15 mengumpulkan 107-5 dengan kaptenya, Fadzrin Kate-Lee melakukan 16 larian diikuti, Hazim Darus dengan 14. Tentera yang dikepalai oleh Rosman Zakaria (76 tanpa tewas) sebagai pembuka pukulan menghayun pantas untuk mengatasi pasukan muda itu dalam hanya 13.3 over.
Selangor-UKM menghabiskan sesi mengejar dalam hanya 6.5 over dengan pembuka pukulan kebangsaan, Faris Almas-Lee mengetuk 32 tanpa tewas.
KEPUTUSAN:
Tentera kalahkan Remaja Bawah 15 dengan 9 wiket.
Bawah 15: 107-5 (46 over) Fadzrin Kate-Lee 16, Hazim Darus 14. Norwira Zazmie A. Halim 4-17, Razman Zabri 3-16.
Tentera 111-1 (13.3 over) Rosman Zakaria kekal 76, Ahmad Husni Mohsin kekal 23.
Pemain terbaik: Rosman Zakaria (Tentera)
Selangor-UKM kalahkan Sabah dengan 8 wiket.
Sabah 56 (27.4 over) Abit Amir 36, Shahrulnizam Yusof 4-6, Faruq Hakimin Azmi 3-4.
Selangor-UKM 61-2 (6.5 over) Faris Almas-Lee kekal 32, Ahmad Faiz M. Noor 17.
Pemain terbaik: Shahrulnizam Yusof (Selangor-UKM)
JADUAL JUMAAT (6 MAC 2009):
Tentera lwn Kedah
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
Selangor-UKM lwn Negeri Sembilan
(UKM Oval, 9.30 pagi)
BEKAS pemain kebangsaan yang mewakili Sabah, Hatta Patombongi melakukan pukulan sewaktu pertemuan dengan Selangor-UKM pada pertemuan Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja di UKM Oval, 5 Mac 2009. Penjaga wiket Selangor-UKM, Shafiq Sharif berhati-hati di belakang kayu pancang.