Pahang boleh hampiri rekod 1956

KUALA LUMPUR - Pahang semakin mencabar untuk memastikan usaha mempertahankan pencapaian tahun 1956 dan 1962 apabila layak ke babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja, 17 Ogos 2025 di Kelab Aman.

Dalam separuh akhir mendebar dan menakjubkan, Pahang menanfikan juara enam kali, Negeri Sembilan dengan enam wiket di Kelab Aman, 16 Ogos 2025.

”Saya masih ingat berpandukan sejarah bahawa Pahang memenangi Perisai Raja pada tahun 1956 yang dibarisi Tunku Mahkota Pahang ketika itu, Tengku Ahmad Shah Sultan Abu Bakar. Ia juga berulang tetapi juara bersama Selangor pada 1962. Kali ini kami akan berusaha untuk berentap sebaik mungkin dengan Tentera,” kata pengurus Pahang, G. Rasul Iqbal.

Dalam satu lagi separuh akhir di Kiara Oval, Tentera menumpaskan Selangor dengan lima wiket. Selangor memukul sehingga 184 larian manakala lawan mengatasi dalam 26.1 over dengan bekas pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar, Syahadat Ramli bergaya sebagai pembaling dan pemukul.

”Selepas empat tahun tidak berupaya menyertai kejohanan, kami enggan bercakap besar sehingga keputusan dicapai esok,” kata kapten Tentera, Syazrul Ezat Idrus; bekas pemain Penang Free School.

Pengerusi Kriket Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong bakal hadir untuk menyemarakkan kegarangan pasukannya dalam pertemuan penentu juara, 17 Ogos 2025.

Kejohanan ini dianjurkan sejak tahun 1951 oleh Persatuan Kriket Melayu Malaya (kemudian Malaysia). Perisai Raja-Raja dihadiahkan Raja-Raja Melayu setahun sebelum itu; diukir oleh tukang perak Kelantan di bawah pengawasan Tan Sri Nik Ahmad Kamil.

SEPARUH AKHIR

Tentera kalah Selangor dengan 5 wiket.

Selangor 184 (40 over) Aizam Daniel Farizal 85; Adeshlie Alias 35. Ahmad  Asby Tan Aris 4-31; Syahadat Ramli 2-30.
Tentera 185-5 (26.1 over) Syahadat Ramli kekal 55; Anwar Arudin 41. Qhais Arsyad Razali 2-30; Amirul Zubair Zulkifle 2-33.

Pemain terbaik: Syahadat Ramli (TEN)
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Faris Almas-Lee (KL)
Pengurus perlawanan: A. Sabri Idris (NS)

Pahang kalahkan Negeri Sembilan dengan 6 wiket.

Negeri Sembilan 146 (30.4 over)  Faliq Alauddin Tarmimi 28; Hadif Irfan Irwan 27; Azman Tajri 21. Areean Aref Zaharin 3-22; Fauzan Malik 2-24; Loqman Hakim Nizam 2-32.
Pahang 147-4 (26.3 over) Iezzat Daniel Ahmad 70; Adzim Yahaya 36; Fauzan Malik 15.

Pemain terbaik: Iezzat Daniel Ahmad (PAH)
Pengadil:  Rudy Ismandi Mansor (Pk); Chandra Seger Maria Dass (Pk)
Pencatat: Nur Nadhirah Nasaruddin (SEL)
Pengurus perlawanan: Arina A. Rahim (Pk)

BABAK AKHIR – 17 OGOS 2025

PAHANG lwn TENTERA
(Kelab Aman, 10 pagi)
 


KEGEMBIRAAN Pahang mara ke perlawanan akhir saingan merebut Perisai Raja-Raja apabila menyingkirkan Negeri Sembilan dengan enam wiket, 16 Ogos 2025.



PASUKAN Selangor dan Tentera bergambar bersama Setiausaha Persatuan Pengadil & Pencatat Malaysia, Gerard Denis Singam (baju biru, berdiri tengah) di Kiara Oval, 16 Ogos 2025.



CEMAS… penyokong Pahang yang juga bekas pemain peringkat usia nasional, Ramdan Samsudin (dua kanan) memikirkan sesuatu untuk memastikan Pahang memenangi aksi separuh akhir.



PEMAIN TERBAIK… Syahadat Ramli menyerlahkan senyuman apabila dipillih pemain terbaik perlawanan dalam aksi separuh akhir di Kiara Oval, 16 Ogos 2025. 



KHIDMAT CEMERLANG… pengadil Chandra Seger Mariadass (kiri), Nur Nadhirah Nasaruddin sebagai pencatat dan Rudy Ismandi Mansor (pengadil) bergambar bersama pengarah kejohanan, Nazmir Sungip di Kelab Aman, 16 Ogos 2025.