Kejohanan besar untuk tampung gerakan pembangunan
Friday, 30 May 2025 19:27

KUALA LUMPUR - Persatuan Kriket Melayu Malaysia berhasrat untuk kembali menganjurkan dua pertandingan yang pernah popular sewaktu gigih melaksanakan pembangunan sebelum tahun 2017.
Saingan sekolah Projek Kriket Nasional bagi merebut Piala Ketua Pengarah Pendidikan (Pelajaran) yang memperuntukkan aksi dua ining dan permulaan pertandingan bawah 15 Trofi Tuanku Jaafar yang dihentikan pada 2018.
Pengelolaan ini menjadi serius apabila tiada pertandingan khusus dianjurkan bagi menampung gerakan pembangunan kriket di Malaysia.
”Apa yang lihat, hanya pertandingan-pertandingan yang dikendalikan tanpa tujuan khusus,” kata Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, Dewi Hartaty Kholid.
Antara sekolah yang berentap merebut Piala KPPM ialah Victoria Institution, Penang Free School, Kajang High School, SMK Clifford, Lipis, Sekolah Sukan KL Titiwangsa, SS Bandar Penawar dan SMK Tengku Indra Petra, Gua Musang.
Bagi merebut Trofi Tuanku Jaa’far pula, Melayu Malaysia bersaing dengan skuad Sekolah-Sekolah Sri Lanka, Singapura, Thailand, Akademi India dan Sekolah-Sekolah Afrika Selatan.
Perkara ini disarankan menerusi perbincangan serius apabila Kriket Melayu bersepakat dengan sebuah pertubuhan mengendalikan Cabaran Bawah 19 T20 yang memihak kepada Sepang Rangers apabila membelasah skuad akademi dari Hyderabad, India dalam babak akhir berakhir 29 Mei 2025 di Kuala Lumpur.
”Kami perlu mempelawa pasukan-pasukan ternama semula ke negara ini bagi memulihkan ‘kemurungan’ prestasi pemain buat masa ini. Saya akan membawa perkara ini ke pihak atasan agar tidak lagi bekerjasama dengan kumpulan lain kecuali penaja yang menghulurkan kewangan kepada persatuan,” kata Dewi yang pernah bertugas pentadbir dan pembantu kurator dengan Kriket Melayu.
Jean Leisure Travel Network yang bersepakat dengan Kriket Melayu menganjurkan pertarungan T20 selama empat hari di Kelab Aman ternyata bercita-cita tinggi tetapi pastinya tidak akan mampu membawa pemain bertaraf tinggi ke Malaysia kerana ia memerlukan wang banyak.
Taukenya, Jean Isaac Selvanayagam adalah seorang novis dalam kriket termasuk perihal teknikal dan dia diminta bertemu beberapa pegawai berpengalaman Persatuan Kriket Malaysia seperti Gordon Chung Pei Nan atau Seha Sinnadurai untuk mendapatkan nasihat.
”Dalam kejohanan kali ini, Kriket Melayu cuma mahu membantunya tetapi tidak kesampaian.”

DEWI HARTATY KHOLID... perlukan pasukan mantap bantu gerakan pembangunan.

SEBAHAGIAN pemain dari Hyderabad yang dibenam juara kampung, Sepang Rangers.

JEAN ISAAC SELVANAYAGAM… dinasihatkan berbincang dengan dua pegawai utama Persatuan Kriket Malaysia.