Unit Sukan di Kelantan bermasalah
Wednesday, 28 May 2025 19:25

KALAULAH dihayati keseriusan Persatuan Kriket Negeri Kelantan, jelas pertubuhan ini ingin meneruskan kesinambungan melahirkan ramai pemain remaja yang cemerlang.
Kehebatan Kelantan dalam sukan ini terutama penyerlahan bintang-bintang remaja sejak 20 tahun lalu tidak pernah dinafikan. Pusat bawah 12 di Kuala Krai, Kota Bharu, Machang dan Gua Musang adalah penyumbang pemain peringkat usia nasional dan seterusnya membarisi skuad utama negara.
Antara pemain kebangsaan yang hebat ialah Fikri Makram Rosdi, Faiz Ahmad Nasir, Wafiq Irfan Zarbani, Shukri A. Rahim dan Che Wan Razlan Zalati.
Apakah ia gandingan bestari Kriket Kelantan-Jabatan Pendidikan Negeri-Majlis Sukan Kelantan?
Memperkasakan dengan serius pembangunan kriket di Kelantan perlu kerjasama seperti ini. MSN Kelantan mengalu-alukan Kelantan untuk membariskan skuad Sukma perkasa bagi tahun hadapan dan 2028. Kelantan menang satu pingat emas pada Sukma lepas di Kuching.
Tetapi perancangan terbantut angkara sikap menyepi Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan hingga sekarang. Persatuan telah berbincang dengan timbalan pengarahnya, Mazlan Yaakob seawal Oktober 2024 dengan susulan surat kepada pengarah masa itu, Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz dengan menyertakan pelbagai perancangan.
Antaranya, menjadikan Maktab Sultan Ismail di Kota Bharu sebagai pusat pembangunan dan latihan pemain remaja dengan penampilan semula lapangan tengah baharu dan gelanggang latihan dibaikpulih. Penempatan pemain remaja ini semata-mata sebagai persiapan pelbagai pertandingan termasuk mempertahankan emas Sukma bagi format Twenty20.
Selepas surat kepada Zamri, diberitahu, ia disalurkan kepada ketua penolong pengarahnya, Anusidiqie Anuar yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa banyak lagi sukan perlu ditumpukan selain kriket.
Pada Januari 2025, Anusidiqie pula memberikan tugasan kepada ketua unit sukan, Sabarudin Omar untuk memanggil mesyuarat bersama Kriket Kelantan bagi membincangkan perkara itu.
Sabarudin tiada susulan selepas itu. Panggilan telefon dan pesanan tidak berbalas berpuluh-puluh kali. Apakah dia benar-benar bertugas atau banyak ‘berehat’ sahaja.
Kalaulah sejak Oktober 2024 hingga Mei 2025 sudah berapa bulan?
Yang Dipertua Kriket Kelantan, Datuk Azmi Mohd. Ali amatlah kecewa dengan gelagat seperti ini. Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Exco Sukan Kelantan, Zam Zamakhshari agar bersedia jika ada sebarang susulan selepas ini.
Tanpa memberi peluang kepada menteri bertindak, apakah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan boleh berdiam diri?
Juga perlu dibabitkan sekali kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian apakah Sabarudin atau Anusidiqie hanya aktif bagi penyertaan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah sahaja; bukan membangunkan sukan untuk negara.
Surat dihantar kepada Pengarah Pendidikan Kelantan pada 23 November 2024 pun tidak berjawab. Janganlah aibkan negeri Kelantan.

BARISAN kepemimpinan Kriket Kelantan sewaktu mesyuarat agung 2024 di Sekolah Kebangsaan Dewan Besar, Machang pada 26 Oktober 2024.

LAPANGAN tengah kriket di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu yang dihadiahkan Kriket Kelantan pada 2012. Kini ia rosak teruk tanpa pengawasan sekolah kerana dikatakan disewa kepada orang luar.