Jangan hanya bercerita besar - Azim
Monday, 26 May 2025 19:01

KUALA LUMPUR - Jika program pembangunan kriket digerakkan secara tersusun, ia bakal mengambil masa dari 15 hingga 20 tahun lagi bagi menyediakan pasukan ‘sempurna’.
Ini pandangan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi mengenai pencapaian terkini Malaysia yang amat membimbangkan.
”Prestasi buat masa sekarang jauh ketinggalan berbanding 15 tahun lepas. Ia seakan-akan sebuah kumpulan yang baharu belajar sahaja,” katanya sewaktu mempengerusikan persidangan agung tahunan Kriket Melayu, 24 Mei 2025.
Abdul Azim berpandangan, jika benar-benar mahu maju, ia perlu dimulakan dengan senarai kejurulatihan mantap dan bukan berharap kepada tenaga yang hanya membawa kegagalan.
”Ramai hanya bercerita besar, juga sambil lewa dalam pelaksanaan program seolah-olah bukan keutamaan ke arah merancang pembangunan,” kata Abdul Azim; bekas Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia.
Majlis Sukan Negara (MSN) juga tidak boleh berdalih kerana prestasi Malaysia mengaibkan dengan mengulangi beberapa kekalahan kepada pasukan kerdil seperti Kemboja, Vanuatu dan Jepun.
Bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia itu juga mengulangi kemarahannya dengan tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang enggan menaja sebahagian daripada peruntukan RM1 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri sewaktu Belanjawan Madani pada Oktober 2024.
”Kepincangan MSN yang tidak mempertahankan fungsi besar Kriket Melayu dalam pelaksanaan program pembangunan dari 1998 hingga 2017 terlalu mengecewakan.” katanya.

ABDUL AZIM… marahkan KBS dan MSN