Penganjuran saingan sekolah juara mengaibkan
Monday, 05 May 2025 09:09

SETIU (TERENGGANU) - Kejohanan Kriket Sekolah-Sekolah Juara kelolaan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) perlu dikendalikan dengan baik antaranya, penyediaan gelanggang permainan, kemudahan penginapan, ketelusan penganjuran serta kepegawaian yang berkualiti.
Bekas Setiausaha Majlis Kriket Johor, Azmi Abdul Majid amat terkejut apabila perkara-perkara asas seperti itu gagal dilaksanakan dalam pusingan akhir aksi sekolah-sekolah juara itu di Setiu.
”Buat kali pertama dalam sejarah pengelolaan pusingan akhir di sini amatlah memeranjatkan. Dahulunya saya dengar-dengar sahaja tetapi apabila terbabit sama sebagai jurulatih, baharu tahu ia tidak seperti dijangkakan.”
Diberitahu penyediaan penginapan amatlah menyedihkan dengan ketiadaan perkara asas, keadaan tandas tidak sempurna dan ada juga bilik tanpa air.
Azmi, bekas pemain kebangsaan, juga berharap dalam pertandingan musim hadapan, jika inginkan permainan berkualiti, perlulah disediakan lapangan tengah yang baik seperti atas rumput tiruan atau atas gelanggang tanah asli.
”Masa dahulu saingan bawah 12 pun atas tanah asli. Tetapi sekarang saya dapati ia seakan-akan setakat mengelola sahaja.Pasukan bawah 17 seperti aksi sekarang memerlukan kemudahan pertandingan yang baik.
“Itulah, pada hakikat saya dapati MCA hanya menyediakan gelanggang berkualiti untuk babak komersial yang boleh mengisi tabung sahaja tanpa menumpukan sangat bahawa pembangunan pemain memerlukan kemudahan asas baik,” kata Azmi.
Yang amat mengecewakan ialah penyediaan lapangan tengah plastik yang dikhususkan untuk sesi latihan. Ini tidak sesuai kerana bola banyak kali bergolek dan tanpa disedari memerangkap pemukul dengan keputusan mati larian.
Didapati banyak pertandingan dan pusingan akhir saingan antara sekolah atau peringkat usia dibebankan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana di sini tanpa penumpuan penuh MCA.
Juga mengaibkan apabila MCA mengaburi ramai apabila menyediakan pengadil remaja yang tidak berkemampuan dengan banyak keputusan boleh dipertikaikan.
Beliau meminta Kementerian Pendidikan meninjau program pembangunan pemain dilaksanakan MCA yang hanya menumpukan jumlah sahaja tetapi tidak tertumpu sepenuhnya kepada kecemerlangan prestasi.
”Janganlah dibiarkan program seperti ini tanpa pengawasan lebih-lebih lagi Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan ada pegawai yang berkemampuan dalam kegiatan kriket.”
Ketua rombongan Victoria Institution selaku juara Kuala Lumpur, Shoba Thirumani Savoo herharap kejohanan berbentuk pembangunan ini dapat diselaraskan dengan sempurna pada musim akan datang.

KEADAAN bilik penginapan pemain berkeadaan teruk.


AZMI ABDUL MAJID...kecewa MCA sedia pengadil remaja.


SHORA THIRUMANI... harap kejohanan musim depan dapat disempurnakan.