Mencemaskan; puluhan calon rebut jawatan MCA
Monday, 21 April 2025 21:47

KUALA LUMPUR - Perhitungan memilih anggota majlis eksekutif (Exco) Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dijadualkan 27 April 2025 terlalu mencemaskan dengan puluhan bersaing untuk mengekal dan merebut jawatan berkenaan.
Bagi jawatan presiden sahaja, lima calon disenaraikan dengan bekas pemegang jawatan itu yang berimpian tinggi, Mahinda K. Vallipuram bakal mencuba nasib lagi. Dia juga mengetuai Persatuan Kriket Kuala Lumpur.
Apabila pencalonan ditutup kelmarin, bekas timbalan presiden, Dr. Arun Kumar Beshamber Nath yang meletakkan jawatan 13 April 2025 kembali untuk beradu nasib terutama misi mengetepikan kehadiran semula Mahinda bagi jawatan paling atas itu.
Bekas presiden juga rakan akrab Mahinda suatu ketika dahulu, Iqbal Ali Kassim Ali dilaporkan tidak berminat lagi; ada kemungkinan tersentak dengan ‘mainan’ pentadbir sepenuh masa yang dikatakan ‘meracuni’ ramai tmengenai perancangan untuk meraih wang kepada persatuan dan strategi unik bagi MCA.
Mahinda juga dikatakan banyak berjanji kepada ahli gabungan untuk mengaut keuntungan pasaran antarabangsa kerana hasil daripada sokongan tempatan terlalu berkurangan lebih-lebih lagi kriket bukan sukan popular dan kurang difahami. Kini Mahinda juga pengarah bagi negara bersekutu Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) tetapi terpaksa turun bertanding semula tahun 2026.
”Tapi apakah ini bersesuaian dan hanya janji-janji sahaja. Bagi saya Iqbal dan Mahinda adalah kawan lama yang sama-sama merancang hala tuju MCA apabila sekumpulan ahli bekas pemain Perak atau grup Silver State dapat menyertai MCA hampir 20 tahun lepas,” kata bekas setiausaha Majlis Kriket Johor, Azmi Abdul Majid.
Pada peringkat awal, Mahinda dikatakan pandai memujuk Setiausaha MCA waktu itu, Chinnadurai Sivanandan untuk menyerapkan beberapa pegawai rapatnya bagi tugasan sepenuh masa mentadbir persatuan itu.
Tetapi kontroversi timbul akhir-akhir ini yang mengakibatkan ramai berhenti pada mesyuarat agung luar biasa 13 April lalu. Yang hanya kekal pula ialah dua naib presiden, Datuk Ahmad Feisal Tajuddin dan Gordon Chung. Juga yang tidak berhenti ialah Razli Ramli. Anehnya dua minggu sebelum mesyuarat agung MCA, Mahinda memohon dan dibenarkan menduduki jawatan ahli exco biasa.
”Yang jelas kumpulan Mahinda dan Gordon (Chung) yang kini akan berentap jawatan timbalan presiden, membariskan mereka yang ternyata menunggu pulangan kepada janji-janji yang diucapkan waktu berkempen sebelum ini dan sekarang.”
Antaranya menyediakan sokongan memperkemaskan lagi kemudahan asas di Borneo Oval, Sarawak; Mutiara Rini Oval di Johor juga misi membeli kompleks Bayuemas Oval daripada Sime Darby Property.
Salain jawatan presiden, empat bersaing untuk merebut timbalan; enam bagi naib yang memperuntukkan dua kedudukan; tiga untuk setiausaha; dua bagi jawatankuasa bendahari. Bagi empat jawatan exco biasa, 15 orang akan berentap dan tujuh beradu nasib bagi dua ahli jawatankuasa gabungan.
Azmi, bekas pemain kebangsaan dan kapten Johor yang enam kali menjuarai liga kebangsaan dahulu, berharap agar semua yang berkempan agar memiliki ketelusan dan tidak hanya berniat untuk memukau perwakilan sahaja.

AZMI ABDUL MAJID… bekas setiausaha Majlis Kriket Johor

Mahinda K. Vallipuram

Iqbal Ali Kassim Ali - Kredit: Stadium Astro