Persetujuan awal teroka pembangunan kriket di Sarawak

KUALA LUMPUR — Pembangunan kriket di Sarawak mesti disegerakan walaupun Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bergelumang dengan masalah dalaman buat masa ini.

Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed telah mengunjungi  Rumah Kriket Melayu di Kuala Lumpur pada 14 April 2025 dan telah mencapai kesepakatan peringkat awal untuk melaksanakan program.

”Saya bertemu pegawai (Persatuan) Kriket Melayu (Malaysia) dan berbincang hampir dua jam. Kami mahu keserasian serta persetujuan dan sebahagiannya sudah dipersetujui,” katanya.

Berpandukan perbincangan itu, matlamat utama ialah pembangunan dibuat ke luar bandar seperti di Kapit, Belaga, Lubok Antu dan Mukah.

”Saya gembira dan sudah ada  tanda positif daripada Kriket Melayu yang sememangnya cemerlang dalam program pembangunan terutama sewaktu diketuai Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dari tahun 1998 hingga 2017.”

Kerajaan Sarawak telah menyediakan sebuah stadium kriket yang dinamakan Borneo Oval dan ia merupakan kemudahan asas baik untuk mengembangkan kriket.

Bulan Mac lepas, dua pegawai Kriket Melayu telah diundang dalam perbincangan peringkat awal mengenai program berkenaan di Kuching.  Awang Mahyan yang juga Presiden Persatuan Lawn Bowls Sarawak juga jurulatih bola sepak paling berani.
 


KESEPAKATAN... Awang Mahyan (kiri) bersama Setiausaha Kewangan Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah bersalaman tanda memuktamadkan persetujuan awal.