Dua kementerian nafikan usaha Kriket Melayu
Tuesday, 18 March 2025 12:50

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan enggan memberi peluang kepada Persatuan Kriket Melayu Malaysia membangunkan semula kriket.
Sebaliknya semua peruntukan berjumlah RM1 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Belanjawan Madani 2025, 18 Oktober lalu akan hanya disalurkan kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA).
Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi sebaliknya terkejut dengan keputusan itu berikutan sejak tahun 2017 hingga sekarang, program pembangunan yang dilaksanakan MCA ternyata gagal melahirkan pemain berkemampuan diiringi aksi mengaibkan apabila berentap di peringkat antarabangsa.
”Kriket Melayu membangunkan pemain pelbagai kaum secara menyeluruh di seluruh negara pada 1998 hingga 2017 sekali gus menyediakan pemain tahap tinggi untuk Malaysia.
”Pelbagai program kami wujudkan termasuk penempatan pemain berprestasi tinggi beraksi bersama kelab dalam liga di Australia, Afrika Selatan, Sri Lanka dan England,” katanya.
Apapun pembangunan Kriket Melayu terpaksa dihentikan pada 16 Ogos 2017 berikutan banyak campur tangan luar.
Atas dasar kepakaran dan permintaan ramai, Kriket Melayu diminta memulakan semula pembangunan di peringkat awal dengan sasaran kumpulan yang lebih kecil tanpa membabitkan belanja besar.
Abdul Azim dengan nada kecewa yakin, KBS dan Kementerian Kewangan mendapat pandangan yang tidak tepat hingga mencapai keputusan memeranjatkan itu dalam mesyuarat 21 Januari 2025 yang turut membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN).
”Saya terlalu hampa dengan pengurusan tertinggi MSN yang difahamkan bersikap ‘lepas tangan’ dalam hal ini tanpa berkata benar mengenai keberkesanan program pembangunan Kriket Melayu yang diikuti oleh beberapa sukan lain buat masa ini.
”Kami membangunkan pemain hingga tahun 2017 kepada Malaysia bukan untuk kegunaan sendiri; jadi apa masalahnya dengan penyaluran sebahagian wang kerana persatuan ini juga sebuah pertubuhan sah.
”Nampaknya persoalan badan induk dibangkitkan pada hal kejayaan pembangunan Kriket Melayu kepada negara tidak dipertahankan walaupun MCA tidak pernah membantu kami satu sen pun. Memalukan sahaja,” tegas Abdul Azim.
Kriket Melayu yang diketuai oleh bekas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman (1994 hingga 2008) dan kemudian diganti oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (2009-2021) telah membelanjakan RM11.9 juta sepanjang pembabitan dalam program pembangunannya.

Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi. - Kredit: Foto BHarian