Norazmy berang, Kriket Melaka enggan berbelanja
Sunday, 05 January 2025 14:57
MELAKA - Berikutan tiada sokongan daripada Persatuan Kriket Melaka, bekas pemain bawah 19 nasional, Norazmy Daud bertindak memulakan sendiri program pembangunan bawah 12 di Pernu.
Norazmy, 44, bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak, Kuala Lumpur itu memulakan tahun baharu 2025 dengan menyediakan segala peralatan asas pengenalan sukan itu.
Programnya mendapat sokongan moral Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
”Saya ingin menabur khidmat kepada pembangunan kriket Melaka yang kini banyak kekurangan seperti tiada padang sempurna, kurang peralatan terkini dan tanpa tenaga kejurulatihan berpengalaman.
”Walaupun tabung mereka sudah ada puluhan ribu ringgit tetapi seolah-olah enggan membantu terutama dalam melahirkan pemain berkualiti,” katanya.
Norazmy dengan tegas mencabar jawatankuasa Kriket Melaka agar mengemukakan pandangan apakah persatuan itu hanya ingin menyimpan wang terutama sekali hasil sokongan Majlis Sukan Negeri Melaka dan pertubuhan lain?
”Kriket Melaka perlu beroperasi mengikut kehendak perlembagaan persatuan terutama sekali dalam soal pembangunan; bukan membelakanginya,” kata Norazmy yang pernah memegang jawatan dalam pertubuhan itu.
Difahamkan secara keseluruhannya, Kriket Melaka kurang membantu dari sudut pembangunan pemain dari peringkat akar umbi.
NORAZMY… aksi balingan di gelanggang latihan Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada 1996.
SEBAHAGIAN peserta bawah 12 Pernu, Melaka yang hadir pada sesi pengenalan kriket.
SEBAHAGIAN peserta bawah 12 Pernu, Melaka yang hadir pada sesi pengenalan kriket.