Ratusan pelajar MBS Sentul sertai sesi kriket
Thursday, 12 December 2024 15:19
KUALA LUMPUR - Keseriusan seorang pengetua untuk memastikan kriket kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist, Sentul (MBS Sentul) telah memastikan 320 pelajarnya menghadiri sesi pengenalan sukan itu kendalian Persatuan Kriket Melayu Malaysia.
Pengetuanya, Koek Chu Hiang, 59, berkata, sejak tahun 1960-an hingga 80-an, MBS Sentul melahirkan bintang-bintang kriket yang membarisi skuad kebangsaan dan kini sudah tiba masa bagi sekolah itu menyerlahkan semula kecemerlangan lalu.
”Saya akan bersara tahun 2025 dan ingin melihat pelajar sekolah ini menguasai kriket,” katanya.
Dalam sesi pengenalan secara teori dan praktikal di sekolah itu pada 11 Disember 2024, penyertaan lebih 300 pelajar sungguh menakjubkan. Kehadiran seperti itu membuktikan pengurusan MBS Sentul terlalu cekap dan bersedia untuk menerima kriket.
Tiga jurulatih Kriket Melayu diketuai pegawai pembangunannya, Arina A. Rahim bersama Mahathir Razali dan Muhammad Azad Sikander hadir memberikan gambaran secara teori dan melakukan pelbagai aksi praktikal di padang.
”Masalah kami buat masa ini cuma kemudahan asas seperti padang dan nets latihan. Apapun saya akan meminta kerjasama serperti di Victoria Institution menerusi pengarah dan pegawai di Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur,” katanya.
Antara pemain hebat yang dilahirkan MBS Sentul ialah kapten kebangsaan Amarjit Gill, P. Banerji Nair dan R. Ratnalingam. Lain-lain pemain ialah P. Muralee Nair, P. Balakrishnan Nair, Kanagaratnam Pathmanathan serta Bhupinder Singh Gill.
Koek juga bertekad agar semua sekolah rendah sekeliling sekolahnya akan menyertai kriket dan seterusnya menyambung permainan itu di MBS Sentul.
Katanya, kegiatan itu turut mendapat sokongan Lembaga Pengelola MBS, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta orang kenamaan.
ANTARA yang hadir pada majlis pengenalan secara teori dan praktikal kriket di SMK (L) Methodist Sentul, 11 Disember 2024. - Kredit MBS SENTUL
KOEK CHU HIANG… Pengetua yang inginkan kecemerlangan.
KOEK CHU HIANG turut sama mendengar sesi pengenalan kriket bersama pelajar MBS Sentul. - Kredit MBS SENTUL
PELAJAR tekun mendengar penerangan mengenai sukan kriket. - Kredit MBS SENTUL