Siapa sahaja boleh sertai ujian pemilihan kriket

KUALA LUMPUR - Victoria Institution dengan kerjasama Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan menganjurkan sesi ujian pemilihan pemain bagi kemasukan akademik  tahun 2025 khusus untuk memperkuatkan barisan sekolah itu dalam permainan kriket peringkat usia.

Mengumumkan perkara itu, Pengetua VI, A. Samad Othman berkata, ujian yang akan diadakan di Victoria Oval pada 7 Disember  2024 ini bakal memilih pemain-pemain perkasa dan berbakat tinggi agar dapat membarisi skuad nasional kelak.

”Pasukan sekolah ini mula mengumpulkan pemain berwibawa untuk projek kriket VI awal tahun 2024 dan telah membawa beberapa kejayaan terutama sekali menjuarai pertarungan antara sekolah-sekolah Kuala Lumpur,”


A. Samad mempelawa pemain-pemain sekitar Kuala Lumpur atau di mana sahaja agar beramai-ramai menayangkan bakat sewaktu ujian pemilihan itu.

”Sertailah kami di VI; sebuah sekolah ternama yang turut melahirkan puluhan pemain negara sebelum ini,” katanya.

Sesi ujian yang akan bermula 9 pagi hingga 2 petang itu akan dikendalikan oleh bekas penjaga wiket terkenal Malaysia, Mohd. Haris Abu Baker bersama bekas pemutar kanan skuad bawah 19 Malaysia, Mahathir Razali dan kapten pertama barisan perempuan nasional, Arina A. Rahim.

Beberapa pemain daripada Projek Kriket Nasional kendalian Kriket Melayu dahulu juga akan membantu sesi berkenaan.

Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, Dewi Hartaty Kholid meminta semua ibu bapa yang mahu anak-anak cemerlang dalam kriket agar hadir ke sesi berkenaan.

”Kami turut menawarkan peluang kepada pemain bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di mana-mana sahaja di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Jika ada masalah, hubungi saya agar ia tidak berhadapan dengan sebarang kontroversi,” kata Dewi Hartaty yang pernah dilatih dan berkhidmat dengan Kriket Melayu sebagai pentadbir, pencatat dan pembantu kurator.

Dalam perkembangan lain, VI juga berhasrat menggantikan rumput tiruan di lapangan tengah Victoria Oval dan melakukan penambahbaikan di gelanggang latihan.


Untuk sesi ujian pemilihan, mereka yang berminat boleh menghubungi Arina A. Rahim di talian 03.2145 2222 atau 012.675 6195.



A. SAMAD OTHMAN… pelawa pemain berbakat sertai ujian pemilihan.



DEWI HARTATY… Timbalan Setiausaha Kriket Melayu.