Methodist Sentul pastikan kriket jadi keutamaan
Thursday, 14 November 2024 20:08
KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist, Sentul (MBS) mencapai kata putus untuk membangunkan kriket seawal Januari tahun 2025.
Dalam taklimat di sekolah berkenaan yang disertai oleh anggota lembaga pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pengetuanya, Koek Chu Hiang mengumumkan pembangunan yang dirancang akan membabitkan ramai pelajar tingkatan satu hingga tiga dengan bantuan kejurulatihan pihak luar yang berwibawa.
”Ini merupakan suatu impian agar kriket turut sama diterjemahkan sebagai sukan utama di MBS Sentul kelak,” katanya.
Buat masa ini, pihak sekolah akan membuat pelancaran secara rasmi dengan penyediaan sokongan terutama membina gelanggang latihan rumput tiruan.
Kemudahan asas terlalu penting lebih-lebih sekolah ini telah melahirkan puluhan pemain kriket kebangsaan dalam tahun 1960-an hingga 80-an.
Antara pemain ternama kebangsaan daripada MBS Sentul ialah Gurucharan Singh, R. Ratnalingam, Pathmanathan Kanagaratnam, Bhupinder S. Gill, Amarjit S. Gill, Ranjit Singh, P. Murali Nair, Balakrishnan Nair dan P. Banerji Nair. Antara mereka yang menjadi kapten skuad negara ialah Ratnalingam, Amarjit dan Banerji.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi yakin pasukan MBS Sentul boleh kembali menguasai sukan itu dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kejurulatihan teratur.
”Saya juga berharap MBS Sentul akan membantu sekolah rendah sekelilingnya menyertai program ini,” kata Azim yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia.
PENGETUA SMK (L) Methodist Sentul, Koek Chu Hiang (tengah) bergambar selepas taklimat di sekolah itu pada 12 November 2024. Turut sama Abdul Azim Mohd. Zabidi (tiga kanan).