Kriket: Misi berbeza pasukan pilihan

Logo Perisai 2010KUALA LUMPUR - Kalah tipis dengan hanya satu wiket kepada Selangor-UKM dalam babak akhir di Bayuemas Oval merupakan sesuatu yang sukar dilupakan Tentera.

Bagi saingan Kriket Melayu Antara Negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja tahun ini yang bermula 3 hingga 7 Mac di Bayuemas Oval, Klang dan Kinrara Oval, Tentera yang berada dalam kumpulan B dilihat berkedudukan mudah pada pusingan awal.
‘’Kami akan memastikan status Tentera dalam sukan kriket di negara ini sentiasa di puncak. Saingan dalam pertandingan ini adalah antara yang disasarkan untuk berada pada kedudukan teratas. Ia sudah semakin hampir untuk menjadikannya kenyataan,’’ kata bos kriket dalam Majlis Sukan Angkatan Tentera, Lt. Kol. Gerard Denis Singam.

Tahun lalu,Tentera yang melakukan 167 larian tumbang setelah Selangor-UKM mengatasi dengan 168-9 dalam 48.2 over).

Dua lagi pasukan bersama Tentera dalam kumpulan B ialah Negeri Sembilan dan Sabah manakala dalam kumpulan A, Selangor-UKM akan bersaing awal dengan Kedah dan Johor.

Pertandingan merebut Perisai Raja-Raja merupakan antara acara sukan tertua yang dianjurkan di Malaysia. Ia diperkenalkan pada tahun 1951 setelah sembilan raja-raja Melayu yang menjadi Penaung Persatuan Kriket Melayu Malaya ketika ketika itu menitahkan sebuah perisai perak disediakan untuk kejohanan kriket antara negeri.

Perisai itu akhirnya disediakan oleh tukang perak ternama di Kelantan untuk pertandingan pada tahun 1951 yang dimenangi bersama oleh Selangor dan Singapura.

Skuad Selangor-UKM yang banyak mengumpulkan kejuaraan akan memastikan beberapa pemain skuad utama kebangsaannya dapat melakukan ketukan baik di lapangan tahun ini. Antaranya Ahmad Faiz M. Noor, Faris Almas-Lee, Shafiq Sharif dan Aminudin Ramly. Tidak terkecuali barisan yang membarisi skuad peringkat usia nasional seperti Faruq Hakimin Azmi.

‘’Misi kami tetap sama iaitu pertahankan kejuaraan dan mengumpul seberapa banyak kejuaraan kriket dalam dan luar negara,’’ kata Pegawai Kanan Belia dan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia , Fairus Shafie.

Tidak banyak kejutan akan berlaku memandangkan Kedah dan Johor masing-masing akan membebankan pemain muda untuk mengukir kejayaan begitu juga Negeri Sembilan serta Sabah .

‘’Pasukan ‘gergasi’ masih merupakan dua finalis tahun lalu. Tetapi jangan terlalu alpa dengan kegarangan masing-masing kerana keangkuhan juga boleh mengakibatkan sesebuah pasukan itu kecundang,'' kata pengelola Negeri Sembilan, Harith Shariff yang juga pengurus skuad bawah 19 negara.

KUMPULAN & JADUAL:


KUMPULAN A:

Selangor-UKM
Kedah
Johor

KUMPULAN B:

Tentera
Negeri Sembilan
Sabah

3 Mac (Rabu):
Negeri Sembilan mln Tentera (Bayuemas Oval, 10 pagi)
Selangor-UKM mln Kedah (Kinrara Oval, 10  pagi)

4 Mac (Khamis):
Johor mln Selangor-UKM (Bayuemas Oval, 10 pagi)
Sabah mln Tentera (Kinrara Oval, 10 pagi)

5 Mac (Jumaat):
Kedah mln Johor (Bayuemas Oval, 10 pagi)
Negeri Sembilan mln Sabah (Kinrara Oval, 10 pagi)

6 Mac (Separuh akhir):
Johan A mln naib juara B (Bayuemas Oval, 10 pagi)
Juara B mln naib johan A (Kinrara Oval, 10 pagi)

7 Mac (Babab akhir):
Mulai 10 pagi di Bayuemas Oval