Mohsain, ahli kanan Kriket Melayu meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Mohsain Hashim, ahli kanan Persatuan Kriket Melayu Malaysia meninggal dunia tengah hari 28 September 2024 di Hospital Ampang, Selangor akibat serangan jantung.

Bekas askar udara yang kemudian bertugas di Shell Malaysia telah menyumbang tenaga dalam Kriket Melayu sejak menjadi ahli pada 18 Jun 1994.

Tugasan yang tidak pernah dilupakan ialah selaku ketua pegawas undi pada persidangan agung tahunan Kriket Melayu sejak tahun 1998 lagi.

''Pada tahun 1998, kita sama-sama dapat menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman menyempurnakan undian baginda bagi memilih ahlis majlis bagi musim 1998-2000,'' kata bekas pemain kriket kebangsaan, Sham Jalil yang memegang jawatan timbalan setiausaha kewangan ketika itu.

Tuanku Ja'afar telah mengetuai Kriket Melayu sebagai yang dipertua sejak tahun 1994 hingga baginda mangkat pada 2008. 

Mohsain, 75, bermain kriket secara aktif pada tahun 1970-an. Berbekalkan pengalamannya dalam sukan itu, beliau pernah diberi tugas sebagai pengurus skuad bawah 18 Melayu Malaysia ke latihan pendedahan ke Perth, Australia dan mengendalikan barisan bawah 15 ke Colombo, Sri Lanka.

Allahyarham juga telah ke saingan Trofi Melayu Antarabangsa di Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2002.

Pada musim 2022-2024, Mohsain dipilih sebagai ahli majlis tetapi beliau menarik diri bagi tahun pentadbiran berikut kerana masalah kesihatan. 

''Jasanya akan sentiasa dikenang,'' kata Setiausaha Agung Kriket Melayu, Najib Hassan.



MOHSAIN HASHIM... penyokong Kriket Melayu hingga ke akhir hayat.



MOHSAIN (kanan) sebagai ketua pengawas undi memerhati Tuanku Ja'afar menyempurnakan undi pada Persidangan Agung Tahunan Kriket Melayu di Istana Negara pada 23 Mac 1998.



UNDIAN LAGI... Yang Dipertua Kriket Melayu, Tuanku Ja'afar berkenam  mengundi pada persidangan agung tahunan pada 14 Mei 2006 di Istana Negeri Sembilan, Kuala Lumpur. Mohsain (kanan) menadah peti undi sambil melebarkan senyumannya.