Sasaran keterlaluan lumpuhkan Sabah

KUALA LUMPUR - Himpunan angka tinggi memastikan Negeri Sembilan mudah merangkul  kejuaraan kriket antara negeri apabila mengetepikan Sabah dengan 230 larian dalam perlawanan akhir di Kelab Aman, 7 September 2024.

Dengan membariskan ramai pemain berwibawa. Negeri Sembilan yang kini memenangi Perisai Raja-Raja untuk tahun keenam berturut-turut telah mengumpulkan  334-8. Pemain serba boleh kebangsaan, Syahadat Ramli bergaya dengan beberapa hayunan enam telah menghimpun 150 larian menerusi 120 balingan.

Tidak terkecuali, pemutar kanan berbadan gempal, Nik Azril Ariffin cemerlang di lapangan tengah dengan 64 larian. Bekas pelajar Penang Free School, Syazrul Ezat Idrus pula tegap dengan 35 larian tanpa tewas.

''Saya dah lama tidak mengganas sebagai pemukul. Hari ini saya berpuas hati dan sedang menunggu untuk melakukan angka yang lebih tinggi dalam perlawanan-perlawanan akan datang,'' kata Syahadat, juga dalam program Persatuan Kriket Melayu Malaysia di Sekolah Sukan Bandar Penawar dahulu.

Sabah yang hanya memukul setakat 104 larian, menyifatkan lawannya terlalu perkasa lebih-lebih lagi menerima banyak sokongan daripada Persatuan Kriket Negeri Sembilan. 

Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi turut hadir untuk menyerahkan perisai kejuaraan kepada Negeri Sembilan.


KEPUTUSAN BABAK AKHIR

Negeri Sembilan kalahkan Sabah dengan 230 larian
 
Negeri Sembilan 334-8 (40 over)  Syahadat Ramli 150; Nik Azril Ariffin 64; Syazrul Ezat Idrus kekal 35. Afiq Jabri Bahri 4-68.
Sabah 104 (24.1 over) Sophiaan Lahidu 25; Hamzah Panggi 24. Nik Azril 4-24; Fitri Sham 3-9.
 
Pemain terbaik: Syahadat Ramli (NS)
Pengadil: Shafizan Shariman (NS) & Samsyul Hisyam Manap (KL)
Pencatat: Faris Almas-Lee (KL)
Pengurus perlawanan: Arina A. Rahim (Pk)



SKUAD JUARA... pemain Negeri Sembilan dengan bangga bersama Perisai Raja-Raja di Kelab Aman, 7 April 2024.



PEMAIN paling senior Negeri Sembilan, Masrulnizam Masrom (berdiri dua kiri, barisan kedua) terlalu gembira kerana masih diperlukan bagi memperkuatkan barisan berkenaan.



CUKUP kemas pukulan kapten Negeri Sembilan, Azman Tajri yang menhayun serbuan Sabah melepasi garisan sempadan.



ABDUL AZIM bersama pemain terbaik babak akhir, Syahadat Ramli.



SELEPAS UNDIAN DI LAPANGAN TENGAH... (Dari kiri); Samsyul Hisyam Manap (pengadil), Sudarmin Darwis (kapten Sabah), Azman Tajri (kapten NS) dan Shafizan Shariman (pengadil).