Dua badan kriket di Perlis sedia berbincang
Wednesday, 12 June 2024 21:27
KUALA LUMPUR — Presiden Persatuan Kriket Perlis (PKP) Datuk Zahidi Zainul Abidin bersedia untuk berbincang bagi bergabung dengan Persatuan Kriket Negeri Perlis (PKNP) khusus untuk perkuatkan pengurusan kriket di negeri itu.
Di samping itu, beliau juga mengalu-alukan pengurusan PKNP untuk bermesyuarat bagi mencari penyelesaian kerana wujud dua pertubuhan kriket di Perlis yang didaftarkan oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Pada 9 Jun 2024, dilaporkan bahawa PKNP yang lebih aktif dalam kegiatan sejak diwujudkan pada 2018 meminta PJS bertindak untuk memastikan hanya satu sahaja persatuan wujud di negeri itu.
PKP didaftar pada tahun 2006 oleh Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia ketika itu, Maniam Manikam tetapi difahamkan kurang aktif dan dikatakan beroperasi tanpa akaun bank.
Zahidi berharap majlis PKNP boleh berhubung dengan beliau untuk berbincang dan mencari persefahaman untuk bersatu dalam satu pertubuhan.
”Saya bersetuju pada bila-bila masa untuk berbincang dan sanggup melepaskan jawatan jika ada calon lain,” kata bekas timbalan menteri itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKNP, Azmi Jaafar terlalu gembira dengan perkembangan itu dan akan menghubungi Zahidi dalam beberapa hari ini.
”Saya akan berbincang dengan beberapa pegawai utama sebelum menghubungi Presiden PKP itu,” katanya
Mengenai cadangan berbincang dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Azmi berkata, ia tiada kaitan buat masa ini kerana perkara penting ialah untuk memastikan dua pertubuhan dapat menjadi satu berikutan kesilapan PJS.
ZAHIDI ZAINUL ABIDIN... sanggup lepaskan jawatan.
AZMI JAAFAR… gembira untuk bertemu Zahidi.
AZMI JAAFAR… gembira untuk bertemu Zahidi.