Kriket Perlis mohon Pesuruhjaya Sukan bertindak

KUALA LUMPUR — Perjumpaan dengan Pesuruhjaya Sukan pada 10 Jin 2024 akan memastikan sama ada Persatuan Kriket Negeri Perlis (PKNP) yang didaftarkan pada tahun 2018 mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah badan kawalan kriket yang sah di negeri itu.

Ini berikutan wujud sebuah lagi pertubuhan kriket; Persatuan Kriket Perlis (PKP) yang didaftarkan juga dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada tahun 2006.

Berpandukan kepada keaktifan, PKNP sememangnya bergerak lancar dengan penyertaan dalam saingan kriket antara negeri merebut Perisai Raja-Raja dan program pembangunan peringkat negeri itu.


”Kami amat aktif dan mahu pengiktirafan daripada Pesuruhjaya Sukan dengan mengetepikan sebuah lagi persatuan yang seakan-akan tidak bergerak langsung,” kata Presiden PKNP yang juga bekas pemain kebangsaan, Mahyudin Mansor.

PKP diwujudkan tahun 2006 menerusi kepemimpinan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ketika itu, Maniam Manickam.

Buat masa ini difahamkan PKP pun tidak memiliki akaun bank persatuan itu.

”Ini tentunya memeranjatkan. Bagaimana mereka boleh beroperasi tanpa akaun pada hal Persatuan Kriket Malaysia (MCA) selalu menghantar peruntukan bagi program sebelum ini,” katanya.

PKP sehingga kini masih menjadi gabungan MCA dan menafikan sebarang penyertaan PKNP dalam pertandingan serta kegiatan tempatan.

Yang menarik, PKP tidak pernah berjaya membentuk pasukan tetapi PKNP menyenaraikan pasukan untuk bersaing dalam pertandingan merebut Perisai Raja-Raja sejak beberapa tahun lalu.

”Nasib baik, kami dapat menyertai pertandingan kelolaan Persatuan Kriket Melayu Malaysia,” kata Timbalan Presiden PKNP, Azmi Jaafar.

Apapun PKNP berharap Pesuruhjaya Sukan membuat keputusan segera agar hanya sebuah persatuan sahaja wujud di Perlis.

”Kami juga tidak mendapat sebarang sokongan dari Majlis Sukan Negeri Perlis sejak pengarah terdahulu Rusfaizal (Radzi) mengeluarkan surat menyebut bahawa majlis itu tidak mempunyai peruntukan untuk kriket.”



MAHYUDIN MANSOR (tengah) bersama setiausahanya, Noradila A. Khalid dan timbalan presiden, Azmi Jaafar akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias, 10 Jun 2024.