Pahang menang besar, NS tipis atasi Selangor

KUALA LUMPUR — Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing mengatasi lawan dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri sekali gus memastikan tempat dalam pusingan kedua dijadualkan awal September 2024.

Juara lima kali berturut-turut hingga  tahun lepas, Negeri Sembilan hanya menang dengan tujuh larian ke atas Selangor di YSD-UKM Oval, 8 Jun 2024 manakala Pahang yang membariskan barisan gagah menundukkan Perlis dengan 142 larian di Kajang Oval.

”Kami mahu memastikan Negeri Sembilan akur dengan kehebatan Pahang dalam pertemuan dua minggu lagi,” kata pengurus Pahang, G. Rasul Iqbal, bekas pemain peringkat usia nasional.


Walaupun tumpas, Selangor juga layak bersaing dalam pusingan kedua. Tiga pasukan yang mara akan bertemu sekali lagi bersama Sabah bagi menentukan juara Perisai Raja-Raja musim 2024.

Kedua-dua perlawanan di YSD-UKM Oval dan di Kajang Oval terpaksa mengharungi perkiraan DLS setelah beberapa kali dihentikan kerana hujan.

Di samping pertemuan Negeri Sembilan-Pahang dua minggu lagi, Perlis juga akan berentap dengan Perak di Kelab Aman.


Pertandingan tahunan ini dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 1951 setelah perisai kebanggaan itu dihadiahkan oleh Raja-Raja Melayu pada 1950.

KEPUTUSAN

Pahang kalahkan Perlis dengan 142 larian

(Sasaran Perlis 301 larian dalam 33 over menerusi kaedah perkiraan DLS berikutan gangguan hujan)

Pahang 302-9 (40 over) Amdam Wiliyoh 45; Fauzan Malik 34; Khairullah Remon Shaiful 31; Adzim Yahaya 30; Irfan Ashri 22. Shahrul Izuddin Mukhtar 2-27; Mahyudin Mansor 2-49.
Perlis 158 (26.1 over) Fauzi Ariffin 38; Saufi Salim 32. Irfan Ashri 3-20; Loqman Hakim Nizam 2-13; Akmal Shahrir 2-32.
Pemain terbaik: Amdam Wiliyoh (PAH)
Pengadil: Faris Almas-Lee (KL) & Nazmir Sungip (Pk)
Pencatat: G. Rasul Iqbal (PAH)
Pengurus perlawanan: Ahmad Sabri Idris (NS)



PAHANG... berjaya melepasi angka 300 sewaktu memukul.



PASUKAN Perlis masih mencari kemenangan.



KAPTEN Selangor, Amirul Zubair Zulkefli (dua kiri) dan ketua pasukan Negeri Sembilan, Azman Tajri diapit pengadil, Denish Sevakumaran (kiri) dan Shafizan Shahriman sebelum perlawanan bermula di YSD-UKM Oval.