Gandingan wiket akhir bawa kemenangan besar

KAJANG - Kegarangan gandingan wiket akhir berjumlah 91 larian memastikan Negeri Sembilan menang besar dengan 217 larian ke atas Perak dalam saingan kriket antara negeri di Kajang Oval, 19 Mei 2024.

Dua pemain kebangsaan, Anwar A. Rahman (37) dan Fitri Sham (49 tanpa tewas) menghayun pelbagai aksi bagi melonjakkan angka juara lima tahun berturut-turut itu mencapai 287 larian setelah jatuhan wiket sebelumnya sewaktu 196 di papan catatan.

Selepas kalah undian, Negeri Sembilan yang dipaksa memukul, tumbang dua wiket pada kedudukan 26 setelah kedua-dua pembuka, Shafiq Akmal Azhar (12) dan Fhadli Ishak (tanpa larian) dipulangkah ke astaka.

Tetapi gandingan berjumlah 134 larian di antara pemain bawah 19 kebangsaan tahun 1996, Masrulnizam Masrom (68) dengan Azman Tajri (62) ternyata memberikan kelebihan kepada tuan rumah.

”Kami bermain sebaik mungkin kerana matlamat masih ke babak akhir bagi menjuarai pertandingan ternama ini,” kata bekas penjaga wiket kebangsaan, Shafiq Sharif

Perak yang kembali menyertai perhitungan merebut Perisai Raja-Raja tidak bertahan lama dengan memukul setakat 70 larian. Tiga pemutar bertaraf tinggi, Anwar A. Rahman (2-8), Nik Azril Ariffin (2-9) dan Fitri Sham (2-16) bergaya dalam sesi balingan bagi Negeri Sembilan.

KEPUTUSAN

Negeri Sembilan kalahkan Perak dengan 217 larian
Negeri Sembilan 287 (37.1 over)  Masrulnizam Masrom 68; Azman Tajri 62; Fitri Sham kekal 49; Anwar A. Rahman 37. Iqbal Azmi 5-51; A. Rahman Bahtiar 2-47; Syahid Aiman 2-53.
Perak 70 (19.2 over)  Marzukh Hasnan 15; Salamuddin Sharip 11.  Anwar A. Rahman 2-8; Nik Azrin Ariffin 2-9; Fitri Sham 2-16.

Pemain terbaik: Masrulnizam Masrom (NS)
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Faris Almas-Lee (KL)
 
 
 
PASUKAN Negeri Sembilan yang menang bergaya di Kajang Oval, 19 Mei 2024.



SKUAD Perak yang tidak terdaya dengan serbuan pembaling Negeri Sembilan.



MASRULNIZAM MASROM (kiri) dipilih pemain terbaik menerima plak daripada pengurus Perak, Iliyas Jamil.