Selangor buat pilihan tepat untuk menang

KUALA LUMPUR — Perlawanan yang dikurangkan setakat 25 over masih memerangkap Perlis untuk mencari kemenangan pertama apabila tewas dengan 51 larian kepada Selangor dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri di Victoria Oval di sini, 4 Mei 2024.

Perlawanan 40 over terpaksa dikurangkan berikutan gangguan masa setelah pengadil Sivan Narayanan dan Mathan Kumar Muniandy mendapati padang basah dan laluan pembaling licin bagi aksi dimulakan awal.

Selangor yang memenangi undian, segera memilih jalan selamat untuk memukul dan nyata ia menguntungkan apabila pasukan itu  mengetuk sehingga 184-9 dalam peruntukan maksimum.



”Ini sebagai pengubat keresahan setelah empat pemukul awal bergelut dan gagal di lapangan tengah,” kata pengurus Selangor, Nazruddin Nasir.

Pemukul kelima, Faizshal Niaz-Lyn (49 larian) dan Fadzrin Kate-Lee (31 tanpa tewas) merupakan penyumbang utama bagi tuan rumah sehingga 25 over.

Apabila Perlis mula menghitung larian, dua bekas pemain projek Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Islah Muhaimin Zol (25 larian) dan Salsabila Ibrahim (23) menguasai misi mengejar tetapi tidak berkemampuan mengatasi angka lawan.


Perlis terhenti pukulan setakat 133 larian dalam 24.2 over.


Bagi Timbalan Presiden Kriket Perlis, Azmi Jaafar, sasaran pasukan itu seterusnya untuk memenangi baki perlawanan yang akan menentukan peluang ke pusingan kedua saingan merebut Perisai Raja-Raja itu.

Selangor yang sudah memenangi tiga perlawanan awal menghampiri matlamat bertarung dalam pusingan seterusnya awal September 2024.


Pertandingan tahunan anjuran Kriket Melayu mula dipertandingkan sejak tahun 1951.

KEPUTUSAN

Selangor kalahkan Perlis dengan 51 larian.
(Perlawanan diputuskan 25 over berikutan padang basah)

Selangor 184-9 (25 over) Faizshal Niaz-Lyn 49; Fadzrin Kate-Lee kekal 31; Syahir Syamael Shaari 20. Zulhisyam Khairul Anuar 2-10; Islah Muhaimi Zol 2-24.

Perlis 133 (24.2 over) Islah Muhaimin Zol 25; Salsabila Ibrahim 23. Norhamizan Hamidon 4-20; Ashraf Azmi 3-15.

Pemain terbaik: Norhamizan Hamidon (SEL)
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Faris Almas-Lee (KL)
Pengurus perlawanan: Arina A. Rahim (Pk)
 


NORHAMIZAN HAMIDON (kiri) dari Selangor menerima plak pemain terbaik daripada Timbalan Presiden Kriket Perlis, Azmi Jaafar di Victoria Oval, Kuala Lumpur semalam.



SELEPAS UNDIAN… Kapten Selangor Faizshal Niaz-Lyn (dua kiri) dan ketua pasukan Perlis Firdaus Rusli bersalam di lapangan tengah dengan kehadiran dua pengadil Sivan Narayanan (kiri) dan Mathan Kumar Muniandy (kanan) sebelum perlawanan dimulakan di Victoria Oval.