Pemain perempuan kebangsaan rindukan Kriket Melayu
Tuesday, 23 April 2024 18:26
KUALA LUMPUR — Lima pemain perempuan kebangsaan kembali ke Persatuan Kriket Melayu Malaysia pada 21 April 2024 bagi melepaskan kerinduan kepada pertubuhan yang melahirkan mereka sejak program bawah 12 lagi.
Diketuai Mahirah Izzati Ismail, 24, empat lagi yang hadir di Rumah Kriket Melayu di sini ialah Ainna Hamizah Hashim, Noor Hayati Zakaria, Mas Elysa Yasmin Zulkifli dan Arianna Natasya Benn Rakquidean.
”Mereka yang dididik Kriket Melayu sejak Program Pembangunan Kriket Remaja dan seterusnya Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah hadir untuk menceritakan perkembangan mereka; dalam sukan dan kerjaya,” kata Setiausaha Kewangan Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah.
Di samping Mahirah Izzati, Ainna Hamizah dan Noor Hayati berusia 24 tahun manakala Mas Elysa dan Arianna Natasya hanya 23.
”Lima sahaja daripada kami dapat bersama hari ini. Kami berjanji akan membawa ramai lagi pemain perempuan yang dilahirkan Kriket Melayu dalam program akan datang,” kata Mas Elysa yang berasal daripada program bawah 12 di Ipoh.
”Saya lihat watak mereka masih sama seperti waktu bersekolah dahulu. Saya amat gembira melihat mereka berjaya,” kata Rosmanizam yang juga Setiausaha Agung Kriket Melayu dari 1992 hingga 2021.
Noor Hayati, Ainna Hamizah, Mahirah Izzati dan Mas Elysa menyertai Projek Kriket Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Lipis manakala Arianna Natasya di SMK Seri Titiwangsa di Kuala Lumpur. Terdahulu semua pemain ini berada dalam program bawah 12 Kriket Melayu. Noor Hayati, Ainna Hamizah berpusat di Bayuemas, Klang; Mahirah Izzati berasal dari pusat Bukit Petaling, Kuala Lumpur manakala Arianna Natasya dari Parit Jawa, Johor.
PELBAGAI GAYA... (dari kiri) Ainna Hamizah Hashim, Noor Hayati Zakaria, Mas Elysa Yasmin Zulkifli, Aminah Deraman (ahli Kriket Melayu), Rosmanizam Abdullah, Arianna Natasya Benn Rakquidean dan Mahirah Izzati Ismail.
ROSMANIZAM ABDULLAH (tengah) mengalu-alukan kehadiran lima pemain kriket perempuan kebangsaan di Rumah Kriket Melayu. Dari kanan; Arianna Natasya Benn Rakquidean, Mas Elysa Yasmin Zulkifli, Mahirah Izzati Ismail. Dua dari kiri, Ainna Hamizah Hashim dan Noor Hayati Zakaria bersama anak pertamanya.