Ramai muka lama diketepikan dalam pemilihan Kriket Johor

JOHOR BAHRU — Majlis Kriket Johor (JCC) mengambil langkah drastik dengan hanya mengekalkan empat anggota lama dalam kepemimpinan pertubuhan itu sewaktu mesyuarat agung tahunan di Mutiara Rini, 24 Februari 2024.

Setiausaha sejak 2018, Haikal-Harith Adam Prakash bernasib baik kerana masih diperlukan manakala naib presiden terdahulu, Prof. Dr. Faidz A. Rahman diberi mandat mengetuai JCC sebagai presiden baharu.

Dua lagi yang masih diberi harapan dalam musim pentadbiran 2024-2026 ialah ahli majlis biasa, Sudesh Narayanan yang kini diangkat sebagai timbalan presiden dan Amarjit Randhawa, kekal jawatan lamanya.


Difahamkan ramai anggota baharu dicalonkan berikutan sebahagian tenaga lama ‘kurang mantap’. Keciciran nama timbalan presiden, Idris Abdul Rahman merupakan suatu kejutan kerana dia seolah-olah dikatakan pemimpin paling popular dan tegas.

”Ada sesuatu yang tidak kena kenapa dia (Idris) tidak dicalonkan. Dia masih mahu bersama kami,” kata Haikal-Harith.

Presiden terdahulu yang banyak membantu, Datuk Avinderjit Singh sebulat suara dilantik sebagai penaung.


Dr. Faidz berjanji akan melaksanakan Pelan Strategik Lima Tahun JCC dengan memberikan fokus kepada empat sasaran iaitu pembangunan bakat muda, penambahbaikan infrastruktur, pembabitan masyarakat dan kerjasama dalam dan luar negara.

KEPEMIMPINAN MAJLIS KRIKET JOHOR 2024-2025:

Presiden: Prof. Dr. Faidz A. Rahman
Timbalan Presiden: Sudesh Narayanan
Naib Presiden: Pan Chee Seng, Fairuz Jaafar
Setiausaha: Haikal-Harith Adam Prakash
Bendahari: Richard Tan
Penolong Setiausaha: Nurilya Natasha Asri
Ahli Majlis Biasa: Lim Ju Jing, Noor Akmar Shah Nordin, Yusri Rahaman, Amarjit Randhawa, Azhar Zainal, Dzulkarnaen Azmi, Sufalil Ismail.
 


PROF. DR. FAIDZ A. RAHMAN… Presiden baharu Kriket Johor.



HAIKAL-HARITH… kekal Setiausaha JCC.