Negeri Sembilan nyaris dikejutkan

KUALA LUMPUR — Negeri Sembilan hampir diranapkan peluang apabila hanya menang tipis dengan sembilan larian ketika menentang Perlis dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri di Kelab Aman, Kuala Lumpur, 13 Januari 2024.

Juara bertahan itu mengumpulkan angka mengaibkan; hanya 136 larian sewaktu memukul pada sesi pagi bagi memberikan peluang  terbuka bagi Perlis dalam saingan 40 over itu.

Apapun Perlis tidak berkemampuan mencapai kejutan dengan cuma mengumpulkan 127 larian; berbaki lima lagi balingan.


”Saya jangka peluang kami (Perlis) terbuka luas tetapi lain pula terjadi. Sebahagian pemukul kami mengecewakan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Kriket Perlis, Azmi Jaafar.

Setelah memenangi undian, Negeri Sembilan kehilangan tiga wiket seawal 13 larian. Mereka semakin sengsara apabila kaptennya, Shafiq Sharif dipulangkan ke astaka dengan hanya menyumbang dua larian.

Saufi Salim (46 larian) yang memukul hingga dikeluarkan dalam gandingan wiket terakhir berikutan mati halangan kaki menerusi serbuan pemutar kidal Negeri Sembilan, Fitri Sham hanya dapat memastikan Perlis terhenti pukulan dalam 39.1 over.

Kejohanan tahunan merebut Perisai Raja-Raja ini dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 1951.

KEPUTUSAN

Negeri Sembilan kalahkan Perlis dengan 9 larian.

Negeri Sembilan 136 (32 over) Amirul Zafuan Abdullah 52; Alif Safwan Zol 18. Salsabila Ibrahim 4-21; Akmal Ziyad Zainuddin 2-27.
Perlis 127 (39.1 over) Saufi Salim 46. Fitri Sham 2-12; Faliq Alauddin Tarmimi 2-15; Azwar Tajri 2-18.


Pemain terbaik: Amirul Zafuan Abdullah (NS)
Pengadil Sivan Narayanan (SEL) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Faris Almas-Lee (KL)
Pengurus perlawanan: Arina A. Rahim (Pk)
 


PASUKAN Perlis yang menentang Negeri Sembilan di Kelab Aman, 13 Januari 2024.



NEGERI SEMBILAN… pasukan juara lima tahun berturut-turut. 



AMIRUL Zafuan Abdullah (kiri) menerima anugerah pemain terbaik perlawanan daripada Setiausaha Pertandingan Kriket Melayu, Nazmir Sungip di Kelab Aman, 13 Januari 2024.



DUA pengadil, Mathan Kumar Muniandy (kiri) dan Sivan Narayanan yang begitu setia dengan kegiatan Kriket Melayu.