Persefahaman mantapkan pengadil, pencatat kriket

KUALA LUMPUR — Kerjasama Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dan Persatuan Pengadil dan Pencatat Kriket Malaysia (ACUS) akan dilaksanakan apabila memorandum persefahaman (MoU) dipersetujui kedua-dua pihak dalam Januari 2024.

Draf mantap dihantar Setiausaha ACUS, Gerard Denis Singam  kepada Presiden MCA, Iqbal Ali Kassim Ali pada 29 Disember 2023.

ACUS diwujudkan pada tahun 2008 setelah pertubuhan terdahulu, Persatuan Pengadil Kriket Malaysia (MACU) dibatalkan pendaftaran setahun sebelum itu setelah bergerak sejak 1973.

”Presiden baharu ACUS Charlie (Chelliah) bersama timbalannya, Shivanandha (Chellappah) mahu gandingan yang boleh menghasilkan kecemerlangan kepada Malaysia dalam pembangunan kepengadilan serta catatan,” katanya.

ACUS yakin MCA perlu mendapatkan rakan strategik dalam pelbagai pelaksanaan termasuk penganjuran seminar, kursus, penampilan anggota baharu serta pendedahan tempatan dan antarabangsa.

”Kami mementingkan kesepakatan bukan menonjolkan siapa lebih bertenaga dalam kepemimpinan.”

ACUS memiliki ramai ahli yang merupakan pemain kriket dan ini mencetuskan keseimbangan dalam pemahaman peraturan sukan itu.
 


GERARD DENIS SINGAM