Johor atasi Selangor; yakin bergaya dalam separuh akhir
Saturday, 05 August 2023 21:15
JOHOR BAHRU - Johor meraikan kemenangan ke atas Selangor dengan 117 larian dalam aksi kriket antara negeri; sekali gus menempatkan pasukan itu di tangga ketiga liga dalam pertemuan di Mutiara Rini, dekat sini, 5 Ogos 2023.
Dengan kemenangan besar itu, Johor akan bertemu Kelantan pada separuh akhir, 2 September 2023 di Kuala Lumpur. Walaupun tertiarap, Selangor masih layak untuk bertemu juara liga, Negeri Sembilan dalam satu lagi perlawanan pada 3 September bagi penentuan ke babak akhir.
Johor yang memenangi undian berjaya menggunakan kesempatan untuk menjinakkan pelawat setelah mengumpulkan 210 larian dalam peruntukan maksimum berjumlah 40 over.
Selangor yang keletihan sebaik sahaja selesai memadang ternyata tumpas awal dengan kedudukan 61-6 di pertengahan perlawanan; seterusnya tersungkur dalam 26.4 over dengan hanya mengetuk setakat 93.
''Kalaulah Johor dapat mengekalkan rentak seperti hari ini, kami mampu mengejutkan Kelantan walaupun pernah tewas dalam perlawanan liga,'' kata kapten Johor, Ammar Uzair Fakri, pemain berasal dari Parit Jawa.
Saingan bagi merebut Perisai Raja-Raja ini dikendalikan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 1951.
KEPUTUSAN
Johor kalahkan Selangor dengan 117 larian.
Johor 210 (40 over) Fairuz Ezwan Sharom 55; Ammar Uzair Fakri 31; Nasrullah Ezry 30. Norhamizan Hamidon 3-40; Muazzam Hadi 2-36.
Selangor 93 (26.4 over) Fadzrin Kate-Lee 18; Amirul Anuar Albar 13; Faizshal Niaz-Lyn 11. Haziq Haiqal Idris 3-25; Armand Zaheen Fakhruddin 2-5; Amsyar Faris Faezal 2-16.
Pemain terbaik: Fairuz Ezwan Sharom (JOH)
Pengadil: Rahim Khan (JOH) & Asiful Alam (JOH)
Pencatat: Hakim Harisan (KEL).
Pengurus perlawanan: K. Ramadas (JOH)
JADUAL:
(Separuh Akhir)
2 September 2023
KELANTAN lwn JOHOR
(Kelab Aman, 10 pagi)
3 September 2023
N. SEMBILAN lwn SELANGOR
(Kelab Aman, 10 pagi)
KAPTEN Selangor, Faris Almas-Lee (kiri) dan ketua pasukan Johor, Ammar Uzair Fakri (kanan) bersama pengadil perlawanan bergambar selepas undian yang memihak kepada Johor di Mutiara Rini, 5 Ogos 2023.
KESEBELASAN Selangor di luar garis sempadan sebelum memadang pada sesi pagi.
BARISAN Johor bergaya bersama bekas pemain kebangsaan, Azhar Zainal (berbaju merah).
PEMAIN terbaik perlawanan, Fairuz Ezwan Sharom merakam senyuman apabila menerima kalungan pingat daripada pengadil, Rahim Khan.