Perlis terpaksa akur kegarangan NS

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Negeri Sembilan menang besar ke atas Perlis untuk bertahan sebagai pasukan amat digeruni dalam saingan kriket antara negeri dalam aksi di YSD-UKM Oval di Bangi, 9 Julai 2023.

Perlawanan yang dihadkan kepada 30 over berikutan gangguan hujan sebelah pagi telah memastikan pasukan pelawat tumbang dengan 154 larian selepas tuan rumah yang memenangi undian, memukul ke angka 274 untuk tiga wiket.

Pengelola pasukan, Azman Tajri terlalu kental di lapangan tengah dengan mengumpulkan 107 larian hanya menerusi 93 balingan.

''Saya gembira dengan pencapaian hari ini. Tidak disangka sama sekali dapat menghayun pukulan hingga melepasi angka seratus,'' kata Azman, 33, seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi.

Turut sama hebat ialah bekas penjaga wiket nasional, Shafiq Shariff dengan 64 larian.

Dengan kemenangan ini, Negeri Sembilan menjangkakan laluan mudah dalam pertemuan dengan Kedah (15 Julai) dan sedikit cabaran bertemu pendahulu liga, Kelantan.

Perlis pula berbaki satu perlawanan; menentang Kelantan pada 15 Julai di Kelab Aman. Pasukan utara ini perlu menang untuk mempertahankan peluang ke separuh akhir.

Kejohanan merebut Perisai Raja-Raja ini dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 1951.

KEPUTUSAN:

Negeri Sembilan kalahkan Perlis dengan 154 larian.
(Perlawanan ditetapkan 30 over berikutan gangguan hujan sebelum perlawanan dimulakan)
 
Negeri Sembilan 274-3 (30 over) Azman Tajri 107; Shafiq Shariff 64; Azwar Tajri kekal 38; Aalif S. Bahrin 25.
Perlis 120 (20 over) Hafizi Ibrahim 39; Firdaus Rusli 28. Nabil Yusri 3-21; Faliq Alauddin 2-14.
Pemain terbaik: Azman Tajri (NS).
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL).
Pencatat: Ammar Uzair Fakri (JOH).
 


LAMBUNGAN syiling oleh kapten Negeri Sembilan, Shafiq Sharif disaksikan ketua pasukan Perlis, Firdaus Rusli sewaktu undian di lapangan tengah YSD-UKM Oval, 9 Julai 2023.



PENGADIL Sivan Narayanan (kiri) dan Mathan Kumar Muniandy bersama dua kapten sebaik sahaja selesai undian.



AZMAN TAJRI gembira selepas dikalung pingat pemain terbaik pertemuan Negeri Sembilan-Perlis di YSD-UKM Oval, 9 Julai 2023.