Dua perlawanan penentu peluang Kedah

KUALA LUMPUR - Dua baki perlawanan bakal menentukan peluang Kedah untuk beraksi dalam separuh akhir kriket antara negeri sesudah menerima kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan merebut Perisai Raja-Raja di Kelab Aman, 8 Julai 2023.

Selangor memastikan dua mata penuh dengan kemenangan enam wiket ke atas pasukan dari utara itu yang rata-rata menampilkan ramai pemain muda sebagai usaha menyemarakkan peluang bersaing dengan pasukan senior.

Setelah tumpas kepada Kelantan, Perlis dan terkini dengan Selangor, Kedah perlu bertarung bersungguh-sungguh bagi menghadapi Negeri Sembilan dan Johor.

''Semangat sahaja tidak cukup untuk menafikan kegarangan Negeri Sembilan dan Johor. Kami memerlukan kepintaran dalam mencorakkan permainan kelak,'' kata pengelola Kedah, Kamil Khirodin.

Kedah yang kalah dalam undian, bermain baik untuk mengumpulkan 158 larian dalam 32.1 over. Selepas waktu rehat di antara ining, Selangor digegar apabila pembuka pukulan, Faris Iskandar Rizan dipulangkan ke astaka dengan hanya satu larian dalam over pertama.

Apapun Selangor melepasi angka sasaran dalam 21 over dengan Ahmad Faiz Mohd. Noor (kekal 39) dan Faris Almas-Lee (26 tanpa tewas) kekal di lapangan tengah. Pemukul ketiga, Norhamizan Hamidon menyumbang 50 larian.

Selangor berbaki satu lagi perlawanan iaitu menentang Johor di Mutiara Rini pada 5 Ogos. 

Empat pasukan teratas bakal beraksi dalam separuh akhir, 2 dan 3 September.


KEPUTUSAN

Selangor kalahkan Kedah dengan 6 wiket.
 
Kedah 158 (32.1 over) Arief Yusof 40; Aiman Zaquan Ridzuan 35; Amirul Ashraf Rani 15. Irfan Ashri 3-13; Fitri Sham 3-22; Norharif Hamidon 2-20.
Selangor 162-4 (21 over) Norhamizan Hamidon 50; Ahmad Faiz Mohd. Noor kekal 39; Faris Almas-Lee kekal 26. Arief Yusof 3-20.
Pemain terbaik: Norhamizan Hamidon (SEL).
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL).


 
Pengurus perlawanan: Rajesh Madhavan (SEL).


NAIB YANG DIPERTUA Kriket Melayu, Azim Zabidi diberi penghormatan mengalungkan pingat pemain  terbaik perlawanan kepada Norhamizan Hamidon dari Selangor yang mengumpulkan 50 larian.



PENGADIL Mathan Kumar Muniandy (kiri) bresama kapten Kedah, Syafiq Sharif, ketua pasukan Selangor, Faris Almas-Lee dan Sivan Narayanan (pengadil) di lapangan tengah sebaik sahaja selesai undian di Kelab Aman.