Kelantan hampiri separuh akhir

KUALA LUMPUR - Kelantan semakin garang untuk layak ke separuh akhir saingan kriket bagi merebut Perisai Raja-Raja apabila memenangi pertemuan ketiga menumpaskan Selangor dengan enam wiket di Kelab Aman, 24 Jun 2023.

Dengan berbaki dua lagi perlawanan sebelum aksi bagi empat pasukan terbaik itu, Kelantan bakal mengharungi laluan kurang getir apabila bertemu Perlis pada 15 Julai sebelum berentap dengan juara bertahan, Negeri Sembilan seminggu kemudian.

Walaupun tanpa beberapa tenaga utama, serbuan Kelantan tetap berbisa dengan mengehadkan pengumpulan larian lawan setakat 105. 

''Sewaktu rehat, saya menasihatkan pemain agar tenang memukul untuk menggenapkan kemenangan ketiga berturut-turut. Tiga wiket diranapkan sewaktu angka 28 tetapi gandingan wiket kelima di antara Azri Azhar Amaluz Zaman (kekal 28) dan Wan Haizul Azrie Moohamaasming (23 tanpa tewas) memastikan kejayaan Kelantan,'' kata ketua jurulatih Kelantan, Zainuddin Harun.

Selangor hanya memiliki dua mata hasil satu kemenangan tetapi tetap yakin apabila bertemu Kedah pada 8 Julai dan Johor, 5 Ogos 2023.

Kejohanan antara negeri ini dianjurkan sejak tahun 1951 oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

KEPUTUSAN
 
Kelantan kalahkan Selangor dengan 6 wiket
 
Selangor 105 (24.2 over) Faris Iskandar Rizal 37; Faris Almas-Lee 12. Amirul Asraf Ayob 3-36; Mahathir Razali 2-0.
Kelantan 108-4 (17.1 over) Mahathir Razali 32; Azri Azhar Amaluz Zaman kekal 28; Wan Haizul Azrie Moohamaasming kekal 23. Muazzam Hadi 2-21/
Pemain terbaik: Mahathir Razali (KEL)
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk); Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Ammar Uzair Fakri (JOH)
Pengurus perlawanan: Rajesh Madhavan (SEL).
 


SESI undian di lapangan tengah di antara kapten Selangor, Faris Almas-Lee (dua kiri) dan Fikri Makram Rosdi (Kelantan).



PEMAIN terbaik perlawanan, Mahathir Razali menerima ucapan tahniah daripada pengadil Mathan Kumar Muniandy.



BARISAN Kelantan.