Johor tumbang dengan tujuh wiket kepada Kelantan

JOHOR BAHRU - Kelantan meneruskan rentak kecemerlangan dengan kemenangan tujuh wiket ke atas Johor dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja di Mutiara Rini dekat sini, 10 Jun 2023.

Tersentak dengan gangguan hujan seawal over kelima sewaktu tuan rumah memukul, Kelantan mengambil peluang pengurangan over itu untuk menamatkan ining Johor setakat 152 larian.

Bekas pembuka pukulan kebangsaan, Azhar Zainal yang ditugaskan memantau keberkesanan kapten Johor, Ammar Uzair Fakri sewaktu memadang, ternyata menghadapi kesukaran mengawal asakan Kelantan dalam misi mengejar kemenangan dalam 33 over.

Bekas guru lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia, Fikri Makram Rosdi mengumpulkan 60 larian bersama seorang lagi pemukul pembukaan, Zaim Asnawi Osman (40); terlalu kental bagi memastikan Kelantan mudah meratah Johor.

Kelantan hanya kehilangan tiga wiket bagi mengatasi Johor dalam 21.5 over sekali gus mengutip mata penuh dalam dua perlawanan. Terdahulu Kelantan menjinakkan Kedah dengan sembilan wiket pada 19 Mac 2023.

''Saya ke Johor untuk memastikan Kelantan menggegar lawan di Mutiara Rini. Walaupun kami 'tersangkut' kerana ramai pemain utama tidak berupaya ke Johor, nampaknya pemain muda boleh diberi tanggung jawab,'' kata Fikri Makram.

Johor memenangi pertemuan dengan Kedah dengan 99 larian pada 18 Mac manakala barisan dari selatan ini berkongsi mata dengan Negeri Sembilan akibat hujan sepanjang hari pada 4 Mac 2023.

''Kami tidak risau dan akan meneruskan misi ke separuh akhir dengan menjanjikan kemenangan besar dalam perlawanan-perlawanan seterusnya,'' kata pengurus Johor, Haikal Kevin Harith.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia ini dimulakan sejak tahun 1951.

KEPUTUSAN

Kelantan kalahkan Johor dengan 7 wiket.
(Perlawanan dikurangkan setakat 33 over berikutan gangguan hujan)
 
Johor 152 (33 overAmamar Uzair Fakri 33; Che Fairuz Saari 29; Aiman NH Johari 19. Mahathir Razali 4-15; Akmal Ziyad Zainuddin 2-13.
Kelantan 153-3 (21.5 over) Fikri Makram Rosdi 60; Zaim Asnawi Osman 40; Mahathir Razali kekal 19; Zulhisyam Khairul Anuar kekal 19.

Pemain terbaik: Mahathir Razali (KEL)
Pengadil: Muhammad Gulraiz (PAK) & Azdi Izuar Othman (JOH)
Pencatat: Nur Afira Yadiha Adzree (JOH)



BARISAN Kelantan bersama pengurus pasukan Nik Anuay Abdullah bergembira dengan Mutiara Rini, Johor setelah membaham Johor dengan tujuh wiket dalam pertemuan Kriket Antara Negeri (Perisai Raja-Raja), 10 Jun 2023.



DUA pegawai utama Kelantan, Zainuddin Harun (kiri) dan Rusdi Ahmad (tengah) bergambar kenangan di Mutiara Rini bersama seorang lagi guru, Amirul Hanif Rahman.



SESI undian sebelum perlawanan disaksikan pengurus perlawanan yang juga bekas pemain kebangsaan, Azmi Abdul Majid.



PENGURUS perlawanan, Azmi Abdul Hamid memberi penerangan kepada pengadil perlawanan, Muhammad Gulraiz (dua kanan) dan Azdi Izuar Othman.