Sakit hati, memalukan
Sunday, 21 May 2023 20:53
PERSATUAN Kriket Melayu Malaysia terlalu aib dengan pencapaian pasukan Malaysia pada Sukan SEA XXXII di Kemboja berakhir 17 Mei 2023.
Naib Yang Dipertua Kriket Melayu, Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, Malaysia yang mensasarkan tiga emas menerusi pasukan lelaki ternyata gagal menepati sasaran manakala pasukan perempuan kekal berbangga dengan tiga pingat gangsa.
''Semakin jelas prestasi kriket jauh menurun. Kita perlu berusaha memuncakkan semula kecemerlangan pemain ke aksi yang lebih meyakinkan di peringkat antarabangsa,'' katanya sewaktu mempengerusikan persidangan agung tahunan persatuan itu di Rumah Kriket Melayu, 20 Mei 2023.
Bukan sahaja keputusan memalukan itu, malah pasukan bawah 19 kebangsaan juga difahamkan tergelincir ke divisyen bawah di peringkat antarabangsa.
''Ini tidak pernah terjadi sewaktu Kriket Melayu aktif membangunkan pemain untuk pasukan negara sehingga tahun 2017,'' katanya yang pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA).
Beliau yang amat sakit hati itu berharap semua pemain hasil program pembangunan Kriket Melayu sama ada yang masih bermain atau tidak, agar berusaha membangunkan semula kehebatan Malaysia dalam peta kriket antarabangsa.
''Berilah sumbangan terbaik agar prestasi Malaysia tidak tercalar lagi,'' katanya.
NAIB YANG DIPERTUA, Abdul Azim Mohd. Zabidi (tengah); setiausaha agung M. Najib Hassan (kiri) dan setiausaha kewangan Rosmanizam Abdullah.
ANTARA ahli yang hadir dalam persidangan agung tahunan Kriket Melayu, 20 Mei 2023.
ABDUL AZIM terlalu sakit hati dengan aksi Malaysia pada Sukan SEA.
AHLI perempuan juga tekun bermesyuarat.