Perlis tonjol keperkasaan

PERLIS bergaya apabila mencapai kemenangan pertama dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri (Perisai Raja-Raja) setelah menumbangkan Kedah dengan 97 larian di Kelab Aman, Kuala Lumpur, 13 Mei 2023.

Turut mencatat kelebihan ialah juara tahun lepas, Negeri Sembilan apabila menafikan keselesaan Selangor dengan kejayaan 30 larian di YSD-UKM Oval, Bangi.

Perlis menghimpun angka baik; 249 larian, sebahagian besar sumbangan Saufi Salim dengan 64 larian sambil dibantu pemuda Gemencheh, Islah Muhaimin Zol (37) dan pegawai tentera laut, Mubin Salahuddin (36).

Sewaktu giliran memukul, kemampuan Kedah hanya setakat 98-7 apabila hujan mengganggu permainan.

''Kami akan terus memburu kecemerlangan dalam perlawanan seterusnya tanpa memikirkan sangat peluang beraksi dalam pusingan kedua,'' kata pengurus Perlis, Azmi Jaafar.

Selangor yang terhimpit dengan masalah kecederaan pemain saat akhir ternyata kecewa apabila tumpas dalam pertemuan terlalu penting bagi kedua-dua pasukan. 

''Pasukan kami dilanda malang menjelang pertemuan 'utama' ini dan terpaksa mengalah tanpa perjuangan sebenar.

''Ada kemungkinan sebahagian daripada senarai pemain sekarang akan berubah menjelang aksi akan datang kerana kami memerlukan kemenangan,'' kata pengurus Selangor, Nazruddin Nasir.

KEPUTUSAN

Perlis kalahkan Kedah dengan 97 larian.
(Kaedah DLS berikutan gangguan hujan)
 
Perlis 249 (37.4 over) Saufi Salim 64; Islah Muhaimin Zol 37; Mubin Salahuddin 36. Nur Fakhrul A. Rahim 4-48; Firdaus Asri Badrulsyam 3-29.
Kedah 98-7 (21.4 over) Syahir Syamael Shaari 27; Syafiq Shariff 17. Hafizi Ibrahim 4-18.
Pemain terbaik: Saufi Salim (PER)
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL)
Pencatat: Vishvaruben Kumar (PP)
 
Negeri Sembilan kalahkan Selangor dengan 30 larian.
 
Negeri Sembilan 232-7 (40 over) Azwar Tajri 69; Shafiq Sharif 42; Anwar A. Rahman 24. Muazzam Hadi 3-53.
Selangor 202 (31.3 over) Amirul Zubair Zulkifle 84; Faris Iskandar Rizal 36. Nik Azril Ariffin 4-61.
Pemain terbaik: Azwar Tajri (NS)
Pengadil: Denis Sevakumaran (SEL) & Samsyul Hisyam A, Manap (KL)
Pencatat: Azlin A. Razak (SEL)
 
 
PASUKAN Perlis yang menguasai pertemuan di Kelab Aman.
 
 
 
SAUFI SALIM (Perlis) berbangga dengan pemilihannya sebagai pemain terbaik pertemuan dengan Kedah di Kelab Aman. Pengadil antarabangsa, Sivan Narayanan menyempurnakan kalungan pingat kepada bekas pemain Negeri Sembilan itu, 13 Mei 2023. 

 
AZWAR TAJRI dari Negeri Sembilan menerima kalungan pingat pemain terbaik dalam pertemuan menentang Selangor daripada pengadil Denish Sevakumaran di astaka YSD-UKM Oval, 13 Mei 2023. 
 
 
BARISAN Kedah yang bersaing di Kelab Aman, 13 Mei 2023