Johor jinakkan Perlis dengan 99 larian

KUALA LUMPUR - Johor memastikan kemenangan berharga ke atas Perlis dengan 99 larian dalam perhitungan kriket antara negeri di Kelab Aman, 18 Mac 2023.

Selepas dipaksa memukul terdahulu berikutan kalah undian, Johor berkedudukan teguh apabila mengumpulkan 135 larian untuk dua wiket dalam 20 over. Seterusnya 'pasukan jaguh' suatu ketika dahulu itu menamatkan pukulan dengan pengumpulan 263-5 dalam 35 over.

Saingan merebut Perisai Raja-Raja itu yang dikurangkan lima over berikutan masalah teknikal dalam pengelolaan padang juga memperlihatkan Perlis yang tumpas kepada Selangor dua minggu lepas berupaya memukul hingga penghabisan over ke angka 164 untuk lapan wiket.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya, Kuala Lumpur yang berasal dari Parit Jawa, Ammar Uzair Fakri menyumbang kecemerlangan kepada Johor dengan 108 larian tanpa tewas.

''Saya mengucapkan tahniah kepada Perlis yang turut menayangkan permainan tahap tinggi walaupun gagal mengatasi kami,'' kata kapten Johor yang juga bekas pemain kebangsaan, Azhar Zainal.

Kejohanan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia itu menampilkan enam pasukan dalam pusingan awal manakala empat pasukan termasuk Sabah akan beraksi dalam pusingan akhir September ini.

KEPUTUSAN

Johor kalahkan Perlis dengan 99 larian.
(Perlawanan dihadkan ke 35 over kerana masalah teknikal)
 
Johor 263-5 (35 over) Ammar Uzair Fakri kekal 108; Azhar Zainal 36; Eszrafiq Azis 27; Fairuz Shahrom kekal 26. Shahrulnizam Yusof 2-63.
Perlis 164-8 (35 over) Fauzi Ariffin 48; Saufi Salim 44. Saifful Hawari Hussin 3-9; Haziq Haiqal 2-15.
 
Pemain terbaik: Ammar Uzair Fakri (JOH)
Pengadil: Sivan Narayanan (Pk) & Mathan Kumar Muniandy (SEL).
Pencatat: Azlin A. Razak (SEL).
 
 
DUA pengadil, Mathan Kumar Muniandy (kiri) dan Sivan Narayanan (kanan) diapit kapten Johor Azhar Zainal (tiga kiri) dan ketua pasukan Perlis Firdaus Rusli (dua kiri) sebaik sahaja melakukan undian di lapangan tengah Kelab Aman