NS, Johor hanya berkongsi mata kerana hujan

JOHOR BAHRU - Juara bertahan, Negeri Sembilan kurang bernasih baik apabila hanya berkongsi mata tanpa turun beraksi menentang Johor dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri merebut Perisai Raja-Raja di Mutiara Rini, Johor, 4 Mac 2023.

Pengurus perlawanan, Azmi Abdul Majid berkata, hujan lebat yang membanjiri gelanggang permainan memaksa pertemuan berkenaan dibatalkan walaupun peruntukan minimum 15 over disediakan.

''Kami kesuntukan masa dan keadaan tidak menyebelahi kami untuk memulakan permainan,'' kata bekas pemain kebangsaan itu.

Dalam satu lagi perlawanan, Selangor menang besar 176 larian ke atas Perlis di Kelab Aman, Kuala Lumpur. 

Walaupun perlawanan bermula lewat kerana padang basah, Selangor bagaimanapun garang mengumpul larian terutama sekali gandingan wiket pertama di antara Norhamizan Hamidon dengan Haziq Aiman Hafiz yang menghasilkan 147 larian.

''Walaupun tanpa beberapa bintang, kami mampu beraksi dengan baik dalam pertemuan pembukaan ini,'' kata pengelola Selangor, Nazruddin Nasir.

Kejohanan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia ini akan berlangsung hingga September. Tiga pasukan teratas liga akan besama Sabah bagi meneruskan cabaran pusingan kedua bagi mencetuskan juara.

KEPUTUSAN:

Selangor kalahkan Perlis dengan 176 larian.

(Perlawanan dihadkan ke 36 over berikutan permulaan lambat)

Selangor 244-8 (36 over) Haziq Aiman Hafiz 89; Norhamizan Hamidon 81. Faruq Hakimin Azmi 2-31.

Perlis 68 (22.2 over) Ammar Rusli 18. Lokman Nur Hakim 4-14; Faris Almas-Lee 2-5.

Pemain terbaik: Norhamizan Hamidon (Sel).

Pengadil: Poobalan Loganathan (PP) & Mathan Kumar Muniandy (Sel).

Pencatat: Azlin A. Razak (Sel).

Johor dan Negeri Sembilan tidak dapat beraksi ekoran hujan lebat di Mutiara Rini.

 

 

PENGADIL Mathan Kumar Muniandy (kiri) dan Poobalan Loganathan (kanan) bersama kapten Selangor, Faris Almas-Lee (dua kiri) dan ketua pasukan Perlis, Firdaus Rusli bergambar selepas melakukan undian.

NORHAMIZAN HAMIDON... pembuka pukulan Selangor yang dinamakan pemain terbaik perlawanan menentang Perlis.

 

BARISAN Selangor yang mengatasi Perlis di Kelab Aman, 4 Mac 2023.