Selangor tipis atasi Kedah
Saturday, 08 October 2022 17:05
SELANGOR bermula baik walaupun dengan kemenangan tipis 15 larian ke atas Kedah dalam perlawanan pembuka tirai saingan kriket antara negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja di Kelab Aman, Kuala Lumpur, 8 Oktober 2022.
Kedah yang memenangi undian dan bertindak untuk memadang berjaya mengehadkan pungutan Selangor hanya 127 larian dalam 28.2 over.
''Walaupun berada dalam kedudukan agak selasa; 90-4 dalam 20 over, pemukul pertengahan tidak dapat melakukan sumbangan besar sekali gus gagal menjarakkan pengumpulan larian.
''Ia sesuatu yang bermakna apabila mengetepikan lawan walaupun kurang senang dengan angka kecil,'' kata kapten Selangor, Kairul Azrin Matsiah.
Hanya empat pemukul Selangor mampu mencapai angka berganda; pembuka pukulan Wan Azam Ahmad (35), Mahathir Razali (24), Faris Almas-Lee (17) dan Fadzrin Kate-Lee (12).
Penyertaan kapten kebangsaan, Ahmad Faiz Mohammad Noor banyak membantu Kedah apabila 18 larian dapat dikumpulkannya di samping Arief Yusof yang menokok 23.
Apapun, serbuan bekas pemain kebangsaan Faris Almas-Lee (3-28) dan Kairul Azrin (3-43) memastikan Kedah terperangkap setakat 112 larian.
Pada 22 Oktober 2022, Negeri Sembilan pula akan menguji ketahanan Selangor; juga di Kelab Aman.
Persatuan Kriket Melayu Malaysia menganjurkan kejohanan ini sejak tahun 1951.
KEPUTUSAN:
Selangor kalahkan Kedah dengan 15 larian.
Selangor 127 (28.2 over) Wan Azam Ahmad 35; Mahathir Razali 24; Faris Almas-Lee 17; Fadzrin Kate-Lee 12. Firdaus Asri Badrulsyam 3-9; Akmal Alif Zainal 3-26.
Kedah 112 (20.4 over) Arief Yusof 23; Ahmad Faiz Mohammd Noor 18. Faris Almas-Lee 3-28; Muazzam Hadi 3-31; Kairul Azrin Matsiah 3-43.
Pemain terbaik: Faris Almas-Lee (Sel).
PEMAIN terbaik perlawanan, Faris Almas-Lee dari Selangor bersalaman dengan pengurus perlawanan Hussein Chou Abdullah sebaik sahaja menerima kalungan pingat di Kelab Aman, 8 Oktober 2022.